Sabtu, 6 Ogos 2011

QADA’ PUASA RAMADHAN DAN FIDYAH

QADA’ PUASA RAMADHAN DAN FIDYAH


(Sumber: Kitab al-Fiqh al-Manhaji ‘Ala Mazhab al-Imam Syafie, karangan: Dr. Mustafa al-Khin dan Dr. Mustafa al-Bagha, jilid 2 hlm. 92-94.)

1. MUSAFIR DAN ORANG SAKIT

Orang yang tidak berpuasa ramadhan kerana sakit atau bermusafir, wajib ke atasnya menggantikan puasa tersebut sebelum datangnya bulan ramadhan pada tahun akan datang. Jika dia tidak menggantikan puasa tersebut kerana sengaja mempermudah-mudahkannya, sehingga datang ramadhan pada tahun berikutnya, maka hukumnya adalah berdosa. Maka diwajibkan ke atasnya menggantikan puasa tersebut bersama-sama dengan membayar fidyah.

Fidyah ialah memberi sedekah kepada fakir miskin dengan kadar setiap hari yang ditinggalkan puasa itu, satu cupak beras. (lebih kurang 600 gram setiap cupak). Fidyah ini akan berganda dengan bergandanya tahun yang berlalu tanpa diganti puasa tersebut.

Jika keuzuran itu berlarutan, seperti sakit berpanjangan sehingga masuk ramadhan yang lain, maka dia hanya wajib menggantikan puasa sahaja, fidyah tidak diwajibkan.

Jika dia meninggal dunia sedang dia belum lagi menggantikan puasanya, maka dia tidak terlepas juga: samada dia telah meninggal dunia sebelum dia mampu menggantikannya, atau meninggal dunia selepas dia mampu menggantikan puasa itu tetapi dia tidak menggantikannya kerana kelalaian.

i) Jika mati sebelum mampu menggantikan puasa tersebut, maka dia tidak berdosa kerana dia tidak mempermainkannya.

ii) Jika dia mati selepas dia mampu menggantikan puasa tersebut, tetapi dia tidak menggantikannya, maka sunat ke atas walinya menggantikan bilangan hari puasa yang ditinggalkannya itu. Maksud wali di sini ialah yang yang paling dekat dengannya dari kalangan kaum kerabatnya.

Dalil yang menunjukkan demikian ialah Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (1851) dan Muslim (1147) daripada ‘Aisyah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

(مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ، صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ)

Maksudnya: “Sesiapa yang mati sedangkan terdapat kewajipan ke atasnya puasa, maka walinya berpuasa menggantikannya.”

Dan diriwayatkan oleh al-Bukhari (1852) dan Muslim (1148), daripada Ibn Abbas r.a.

قال: جاء رجل إلى النبي (ص) فقال: يَا رَسُوْلَ اللهِ، إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ، أَفَأَقْضِيْهِ؟ قَالَ: (نَعَمْ فَدَيْنُ اللهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى)

Maksudnya: telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW dan bertanya: Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya ibuku sudah meninggal dunia dan ke atasnya masih ada kewajipan berpuasa selama sebulan, adakah aku perlu menggantikannya? Sabda Rasulullah SAW: Ya, maka hutang kepada Allah itu lebih berhak diganti.)

Dalam perkara ini, orang asing (bukan kaum kerabat) juga boleh menggantikan puasa untuk orang yang mati jika ia diizinkan oleh salah seorang dari kaum kerabatnya. Jika orang asing itu berpuasa tanpa mendapat keizinan dari kaum kerabat si mati atau tanpa wasiat dari si mati, maka tidak sah dia berpuasa menggantikannya.

Jika tidak ada sesiapa yang hendak berpuasa untuk si mati itu, maka hendaklah diberi makan kepada orang miskin setiap hari yang ditinggalkan puasa itu satu cupak beras. Dan beras tersebut wajib diambil dari harta peninggalan si mati.

Diriwayatkan oleh al-Turmuzi daripada Ibn Umar r.a. :

قال: من مات وعليه صيام شهر فليطعم عنه مكان كل يوم مسكينا.

Maksudnya: (sesiapa yang mati dan ke atasnya masih ada kewajipan berpuasa sebulan, maka hendaklah diberi makan setiap hari seorang miskin sebagai gantinya.)

2. ORANG TUA YANG LEMAH DAN ORANG SAKIT YANG TIDAK ADA HARAPAN SEMBUH.

Jika seorang tua yang uzur yang perlu berbuka puasa, maka dia hanya wajib memberi sedekah bagi menggantikan puasanya dengan secupak beres bagi setiap hari. Dia tidak diwajibkan melakukan perkara lain dari itu.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (4235)

عن عطاء: سمع ابن عباس رضي الله عنهما يقرأ (وعلى الذين يطوقونه فدية طعام مسكين) البقرة:184. قال ابن عباس: ليست بمنسوخة، هو الشيخ الكبير، والمرأة الكبيرة، لا يستطيعان أن يصوما، فيطعمان مكان كل يوم مسكينا.

Maksudnya: Daripada ‘Ata’: dia mendengar Ibn Abbas r.a. membaca ayat dari surah al-Baqarah :184, Ibn Abbas berkata: Ayat ini tidak dimansuhkan, dia adalah orang tua lelaki dan orang tua perempuan, dua orang ini tidak mampu untuk berpuasa, maka mereka memberi makan orang miskin setiap hari sebagai gantinya.”

Bagi orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh dari penyakitnya, hukumnya sama dengan orang tua yang lemah yang disebut di atas.

3. PEREMPUAN YANG HAMIL DAN IBU YANG MENYUSU.

Seorang perempuan yang hamil dan ibu yang menyusu, apabila mereka tidak berpuasa, ia adalah disebabkan dua perkara iaitu: samada mereka takut berlaku keburukan terhadap diri sendiri atau mereka takut berlaku keburukan ke atas anak mereka.

i. Jika mereka tidak berpuasa kerana takut berlaku keburukan terhadap diri sendiri, maka mereka wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan itu sahaja sebelum datangnya ramadhan pada tahun hadapan, tanpa perlu membayar fidyah.

Ini berdasarkan hadis riwayat al-Turmuzi (715) dan Abu Daud (2408):

عن أنس الكعبي رضي الله عنه عن النبي (ص) قال: (إن الله تعالى وضع عن المسافر الصوم وشطر الصلاة، وعن الحامل أو المرضع الصوم) وضع عن = أسقط

Maksudnya: Nabi SAW bersabda: (sesungguhnya Allah telah melepaskan bebanan puasa dan separuh dari solat dari orang yang bermusafir, dan Allah melepaskan bebanan puasa dari orang perempuan yang hamil dan yang menyusukan.) ertinya Allah meringankan orang musafir dengan diharuskan qasar solat dan dipermudahkan untuk tidak berpuasa, tetapi wajib menggantinya.

ii. Jika perempuan hamil atau menyusukan anak itu tidak berpuasa kerana takut sesuatu perkara buruk berlaku ke atas anaknya, seperti dia kuatir akan berlaku keguguran jika dia berpuasa atau, dia kuatir akan kekurangan susu yang boleh memudharatkan anaknya jika dia berpuasa; maka dalam keadaan ini perempuan itu wajib menggantikan puasa tersebut serta bersedekah satu cupak beras bagi setiap hari yang ditinggalkan.

PERLUKAH WITIR DITUNAIKAN DUA KALI DALAM 1 MALAM?

PERLUKAH WITIR DITUNAIKAN DUA KALI DALAM 1 MALAM?

WAKTU SOLAT WITIR

Hukum solat witir ialah sunat pada pandangan jumhur ulama, manakala Hanafiyah berkata hukumnya adalah wajib. Paling sedikit rakaat solat witir ialah 1 rakaat dan paling banyaknya ialah 11 rakaat.

Waktu solat witir ialah selepas solat Isyak sehingga ke naik fajar yang kedua; ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

(إِنَّ اللهَ زَادَكُمْ صَلَاةً وَهِيَ الْوِتْرُ، فَصَلُّوْهَا مِنْ صَلَاةِ الْعِشَاءِ إِلَى طُلُوْعِ الْفَجْرِ)رواه أبو داود والترمذي وابن ماجه.

Ertinya: “sesungguhnya Allah SWT telah menambahkan kamu satu solat, iaitu solat witir, maka solatlah kamu akannya (solat witir) dari masa solat Isyak hingga naik fajar.”

Kepada sesiapa yang tidak melakukan solat tahajjud, maka lebih afdal baginya menunaikan solat witir sesudah solat isyak. jika dia mahu melakukan solat tahajjud, afdal baginya menunaikan solat witir selepas solat tahajjud; ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

(مَنْ خَافَ مِنْكُمْ أَلَّا يَسْتَيْقِظَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ ... فَلْيُوْتِرْ مِنْ أَوَّلِ اللَّيْلِ، ثُمَّ لِيَرْقُدْ، وَمَنْ طَمِعَ مِنْكُمْ أَنْ يَقُوْمَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ... فِلْيُوْتِرْ آخِرَ اللَّيْلِ) رواه الترمذي وابن ماجه.

Ertinya: “sesiapa yang kuathir tidak dapat bangun pada akhir malam, maka solatlah witir pada awal malam… dan sesiapa yang berebut untuk bangun di akhir malam, maka solatlah witir pada akhir malam.”

Diriwayatkan dalam sebuah hadis, Nabi SAW bertanya kepada Abu Bakar:

(مَتَى تُوْتِرُ؟) فَقَالَ: أُوْتِرُ، ثُمَّ أَنَامُ، ثُمَّ أَقُوْمُ، فَقَالَ: (أَخَذْتَ بِالْحَزْمِ)، وَقَالَ لِعُمَرَ (مَتَى تُوْتِرُ؟)، فَقَالَ: أَنَامُ، ثُمَّ أَقُوْمُ، ثُمَّ أُوْتِرُ، فَقَالَ: (أَخَذَ هَذَا بِالْقُوَّةِ).

Ertinya: (bila kamu solat witir?) Abu Bakar berkata: aku solat witir, kemudian aku tidur, kemudian aku bangun, sabda Nabi SAW: (kamu telah mengambil pakej ini.) Nabi bertanya Umar pula: (bila kamu solat witir?) Umar berkata: aku tidur, kemudian aku bangun, dan aku solat witir, Nabi SAW bersabda: (dia telah mengambil ini (solat witir) dengan kekuatan.)

Ulasan penterjemah: berdasarkan hadis ini, harus ditunaikan solat witir itu di awal malam selepas Isyak atau di akhir malam iaitu sepertiga malam.

Jika seseorang itu TELAH menunaikan witir pada awal malam (CONTOHNYA SELEPAS SOLAT TARAWEH), kemudian dia tidur, dan selepas itu dia bangun pula untuk solat tahajjud, maka ia tidak mengurangkan witirnya. Ertinya witirnya tidak terbatal dan dia tidak perlu menunaikan witir KALI KEDUA lagi. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW:

(لاَ وِتْرَانِ فِيْ لَيْلَةٍ)رواه أبو داود والترمذي والنسائي ertinya: “Tidak ada dua witir dalam satu malam.”

Maka sesiapa yang yakin bahaya dia telah solat isyak, dan selepas itu dia tunaikan solat witir, kemudian dia teringat pula bahawa sebenarnya dia belum lagi solat isyak, maka dia hendaklah solat isyak dan tidak lagi perlu mengulangi solat witir tersebut.

(Sumber: Terjemahan dari kitab: al-Bayan fi Mazhab al-Syafie, Abi Yahya bin Abi al-Khair bin Salim al-Imrani al-Syafie al-Yamani, Tahqiq: Qasim Muhammad al-Nuri, Berut: Dar al-Minhaj, 2000, jld.1, hlm. 265.)