Ahad, 24 April 2011

Perihal Serban

KEDUDUKAN SERBAN MENGIKUT PENILAIAN ULAMAK ISLAM

Kebanyakan orang yang berserban apabila ditanya “Kenapa anda memakai serban?”, mereka akan menjawab; “Kerana saya ingin mengikuti Nabi s.a.w. dalam berpakaian (khususnya dalam hal menutup bahagian kepala)”. Serban adalah antara pakaian Nabi s.a.w.. Sama ada kita berpandangan pemakaian serban itu sunat atau tidak, mendapat pahala atau tidak mendapat pahala, kita tidak boleh menafikan bahawa Nabi s.a.w. sememangnya memakai serban dalam hidupnya. Oleh perbahasan tentang pemakaian serban ini kita akan mulakan dengan membahaskan tentang pengertian as-Sunnah dan ruang lingkupnya terlebih dahulu.

Pengertian as-Sunnah

Apa yang terbit dari Nabi s.a.w. dinamakan as-Sunnah. Secara amnya para ulamak mentakrifkan as-Sunnah sebagai; “Segala yang terbit dari Nabi s.a.w. -selain dari al-Quran- sama ada ucapan baginda, perbuatan baginda atau pengakuan baginda”. Berdasarkan takrifan ini, maka as-Sunnah dapat dibahagikan kepada tiga kategori iaitu;

1. Sunnah Qauliyah

Iaitu perkataan-perkataan yang diucapkan oleh Nabi s.a.w. dalam pelbagai sempena dan tujuan. Kebiasaannya dipanggil dengan al-Hadith (الحديث) di mana apabila disebut sahaja al-Hadith maka difahami bahawa yang dimaksudkan ialah Sunnah Qauliyah (yakni ucapan-ucapan Nabi s.a.w.).

2. Sunnah Fi’liyah

Iaitu apa-apa yang dilakukan atau dikerjakan oleh Nabi s.a.w.. Contoh Sunnah Fi’liyah ini juga banyak, antaranya; perlaksanaan solat dengan bentuk-bentuk dan rukun-rukunnya, perlaksanaan haji, pengadilan baginda dalam penghakiman dan sebagainya.

3. Sunnah Taqririyah

Iaitu senyap Nabi terhadap perbuatan atau percakapan yang berlaku di hadapan baginda iaitu baginda tidak mengingkarinya. Senyapnya baginda itu menunjukkan bahawa perbuatan atau percakapan itu adalah harus di sisi Syara’ kerana seorang nabi tidak akan sekali-kali membisu apabila berhadapan dengan kebatilan.

Perbuatan Nabi dan ruang-lingkupnya

Antara yang tergolong dalam as-Sunnah ialah perbuatan Nabi s.a.w.. Perbuatan-perbuatan Nabi s.a.w. ada yang berkait dengan urusan agama secara langsung (seperti urusan ibadat, ketetapan hakam, halal dan haram dan sebagainya), ada yang berkait dengan urusan duniawi (seperti politik, masyarakat, ketenteraan dan seumpamanya) dan ada yang berkait dengan amalan rutin atau kebiasaan sebagai manusia (antaranya makanan, pakain, kenderaan dan sebagainya). Secara lebih jelas, Syeikh Muhammad al-Hadhari dalam bukunya “أصول الفقه” menjelaskan; “Perbuatan-perbuatan Nabi s.a.w. terdiri dari tiga kategori;

a) Jibilli (جبلي); iaitu perbuatan yang bersifat tabi’ie atau kebiasaan sebagai manusia seperti makan, minum, tidur, berpakaian dan yang seumpamanya.

b) Qurb (قرب); iaitu perbuatan untuk taat atau mendekatkan diri kepada Allah seperti solat, puasa, sedekah dan yang semisal dengannya.

c) Mu’amalat (معاملات); iaitu perbuatan yang berupa interaksi sesama manusia seperti jual-beli, perkahwinan, akad muzara’ah, mu’amalat harta dan semisalnya.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga menjelaskan; “Di antara yang dapat diperhatikan ialah dari kalangan fi’liyah Nabi s.a.w. ada yang terbit dari jibiliyyah dan tabi’iyyah (yakni kebiasaan dan tabi’ie sebagai manusia) seperti riwayat soheh yang menceritakan; “Adalah Nabi menyukai labu (الدباء/القرع)”. Begitu juga, riwayat yang menceritakan; “Baginda menyukai daging di bahagian kaki (kambing atau sebagainya)”. Di antara sunnah Fi’liyyah ada juga yang terbit dari adat/kebiasaan seperti memakai serban dan melepaskan ekornya antara dua bahu. Di antara sunnah fi’liyyah itu juga ada yang terbit dari baginda dalam bentuk qurbah iaitu yang dilakukan dengan maksud mendekatkan diri kepada Allah ketika melakukannya seperti perbuatan-perbuatan baginda dalam solat, ketika haji dan umrah, zikir-zikir dan doa dan yang lain lagi seumpamanya…”.

Pendirian ulamak usul tentang perbuatan jibilliyyah dan tabi’iyyah Nabi s.a.w..

Serban termasuk dalam jenis pakaian. Oleh demikian pemakaian serban oleh Nabi s.a.w. sudah tentunya termasuk dalam kategori perbuatan jibiliyyah atau perbuatan kebiasaan baginda sebagai seorang manusia. Menyentuh tentang perbuatan jibiliyyah ini, apa pandangan ulamak tentangnya khususnya ulamak usul? Di bawah tajuk ini kita akan kemukakan beberapa ulasan kitab-kitab Usul Fiqh berhubung persoalan tersebut. Jawapan bagi persolaan ini amat penting kerana ia akan menentukan sikap kita terhadap pemakaian serban serta amalan-amalan kebiasaan Nabi yang lain.

Dalam kitab Nuzhatul-Musytaq (Syarah al-Luma’), pengarangnya menegaskan; “Perbuatan-perbuatan Nabi s.a.w. sama ada ia berupa qurbah dan taat atau bukan berupa qurbah dan taat. Jika ia tidak berupa qurbah dan taat, akan tetapi menyerupai urusan jibiliyy (kebiasaan manusiawi) seperti urusan makan, minum, berdiri, duduk dan sebagainya dari apa yang nampak ketara padanya urusan jibiliyyah, maka ia berdiri di atas hukum ibahah (yakni harus) di sisi jumhur ulamak sama ada bagi diri baginda dan umatnya. Namun Qadhi Abu Bakar al-Baqilani menaqalkan dari sekumpulan ulamak bahawa ia adalah mandub (yakni sunat mengikutinya). Adalah Abdullah bin Umar r.a. sentiasa memberi perhatian kepada perbuatan-perbuatan Nabi seumpama itu dan mengikutinya sebagaimana yang diketahui dan dinaqalkan di dalam kitab-kitab as-Sunnah”.

Lebih terperinci, Imam as-Syaukani menjelaskan dalam kitab usulnya yang masyhur iaitu Irsyadil-Fuhul; “Perbuatan Nabi s.a.w. yang tidak berkait dengan ibadat dan nampak nyata padanya urusan jibiliyyah (yakni kebiasaan sebagai seorang manusia) seperti berdiri, duduk dan sebagainya, maka tidak ada padanya kewajipan mengikut atau mematuhinya, akan tetapi ia menunjukkan kepada keharusan berdasarkan pandangan jumhur/majoriti ulamak. Qadhi Abu Bakar al-Baqilani menaqalkan dari sekumpulan ulamak yang berpendapat bahawa ia adalah sunat (yakni digalakkan mengikutinya). (Pandangan yang sama) diceritakan oleh Imam al-Ghazali dalam al-Mankhul. Begitu juga, Abdullah bin Umar r.a. sentiasa memberi perhatian kepada perbuatan-perbuatan Nabi seumpama itu dan mengikutinya sebagaimana yang sedia diketahui dari beliau dan dinaqalkan di dalam kitab-kitab hadis..”. (*Sikap dan pendirian Ibnu Umar ini kita akan kemukakan di dalam satu tajuk yang khusus di depan nanti).

Beliau menjelaskan lagi; “(Di antara perbuatan Nabi s.a.w.), ada yang dapat diandaikan telah keluar dari semata-mata kebiasaan (jibilliy) kepada menjadi Syari’at dengan kerana berterusan baginda melakukannya dalam bentuk yang diketahui umum dan dalam keadaan yang khusus. Ia seperti perbuatan makan, minum, berpakain dan tidur. Maka perbuatan Nabi yang berada dalam kategori ini sekalipun tahapnya di bawah kategori perbuatan-perbuatan baginda yang nampak padanya urusan Qurbah (ibadah dan ketaatan), namun ia lebih atas dari perbuatan-perbuatan yang nampak padanya urusan jibilliy (kebiasaan manusiawi) semata-mata. Itu sekiranya perbuatan tersebut tanpa terdapat petunjuk atau dorongan dari Nabi (yakni baginda hanya melakukannya sahaja). Namun jika terdapat petunjuk atau dorongan dari baginda seperti baginda menunjukkan kepada suatu cara dari cara-cara makan, minum, berpakaian, tidur dan sebagainya, maka ia terkeluar dari semata-mata kategori ini (yakni kategori sebagai perbuatan jibilli) dan berpindah menjadi kategori amalan atau perbuatan yang disyari’atkan. Imam Syafi’ie mempunyai dua pandangan (yang dinaqalkan darinya) berkenaan perbuatan Nabi s.a.w. yang termasuk kategori ini; apakah ia merujuk kepada asal iaitu tidak disyari’atkan, atau merujuk kepada apa yang zahir, iaitu disyari’atkan. Pandangan yang rajih dari beliau ialah yang kedua iaitu disyari’atkan. Pandangan ini juga diceritakan oleh Imam Abu Ishaq dari majoriti ahli-ahli hadis. Oleh demikian, kedudukannya adalah sunat (mandub)”.

Dr. Abdul Karim Zaidan kitabnya al-Wajiz Fi Ushul al-Fiqh menjelaskan; “Perbuatan-perbuatan jibilliyah iaitu yang terbit dari Nabi s.a.w. kerana tabi’ie (kebiasaan semulajadi) dan atas sifatnya sebagai manusia seperti makan, minum, berjalan, duduk dan sebagainya; maka ia tidak tergolong dalam kategori Tasyrik kecuali atas perkiraan keharusannya ke atas sekelian mukallaf. Oleh demikian tidak wajib mengikuti Rasulullah s.a.w. dalam cara perlakuan baginda bagi perbuatan-perbuatan tersebut. Namun sebahagian sahabat ada yang menanamkan hasrat mengikuti Nabi s.a.w. dalam perbuatan-perbuatan tersebut. Contohnya Abdullah bin Umar r.a.. Ikutan tersebut adalah satu langkah yang baik (sekalipun tidak diwajibkan-pent.)”.

Kesimpulan;

Dari pandangan ilmu usul di atas, kita dapat simpulkan bahawa majoriti ulamak meletakkan amalan-amalan atau perbuatan-perbuatan Nabi s.a.w. yang berada dalam kategori jibilliy (yakni amalan atau perbuatan tabi’ie sebagai seorang manusia) adalah berstatus harus sama ada bagi diri baginda atau bagi umatnya. Oleh kerana ia berstatus harus sahaja, maka kaum muslimin tidak diwajibkan atau dituntut mengikuti baginda dalam urusan jibilliy tersebut. Namun jika mereka ingin mengikuti baginda –bukan atas dasar wajib atau tuntutan- tetapi atas dasar ingin meniru baginda atau sebagai tanda kasih kepada baginda, maka ia diharuskan. Malah menurut Dr. Abdul Karim Zaidan, ikutan tersebut adalah baik kerana mencontohi sikap sebahagian sahabat.

Adapun Imam as-Syaukani, dari penjelasan beliau kita dapat membahagikan amalan atau perbuatan jibilliy Nabi s.a.w. kepada tiga tahap;

a) Ada di antaranya yang bersifat harus semata-mata mengikut jumhur ulamak.
b) Ada di antaranya yang lebih tinggi dari bersifat harus semata-mata iaitu ia menghampiri urusan qurbah (ketaatan atau ibadah) kerana berterusan dilakukan oleh Nabi s.a.w..
c) Ada di antaranya yang telah berubah dari semata-mata kebiasaan Nabi kepada menjadi Syari’at iaitu apabila terdapat penegasan atau dorongan dari Nabi s.a.w..

Bagaimana dengan pemakaian serban? Adakah ia berada di tahap pertama, kedua atau ketiga? Bagi menjawab persoalan ini, kita perlu meninjau dengan lebih luas hadis-hadis yang menceritakan secara lansung amalan berserban oleh Nabi s.a.w..; Apakah ia merupakan amalan yang dilakukan tanpa perhatian oleh baginda? Apakah ia menjadi amalan baginda yang berterusan yang sentiasa dijaga? Dan adakah terdapat dorongan dari baginda terhadap pemakaian serban?

Hadis-hadis tentang serban

Serban atau dalam bahasa Arabnya dipanggil al-‘Imamah sekalipun tidak bernilai Syari’at pada asasnya kerana ia berstatus amalan jibilli, namun kitab-kitab hadis muktabar tidak ketinggalan menaqalkan tentang serban Nabi s.a.w.. Malah ada yang meletakkannya di dalam bab yang khusus. Ini dapat kita lihat dari senarai bab dalam kitab-kitab hadis berikut;
• سنن الترمذي( بَابُ مَا جَاءَ في العمامةِ السَّوداءِ)
• سُنَنُ أبي دَاوُد (باب في العمائم)
• سنن ابن ماجه (باب لُبس العمائم في الحرب، باب العمامة السوداء ،باب إرخاء العمامة بين الكتفين)
• سنن النسائي (لبس العمائم الحرقانية، لبس العمائم السود، لبس العمائم السود، باب إرخاء طرف العمامة بين الكتفين)
• معجم الطبراني الكبير (باب ما جاء في لبس العمائم والدعاء وغير ذلك)
• رياض الصالحين (باب صفة طول القميص والكم والإزار وطرف العمامة وتحريم إسبال شيء من ذلك على سبيل الخيلاء وكراهته من غير خيلاء).
• نيل الأوطار (باب ما جاء في لبس القميص والعمامة والسراويل)
• الشمائل المحمدية للإمام الترمذي (باب ما جاء في عمامة رسول الله).

Fakta tersebut menggambarkan bahawa serban Nabi mempunyai nilai tersendiri di mata para sahabat yang menjadi perawi pertama dari Nabi sehingga mereka memerhatinya pada baginda dan menceritakannya kepada generasi selepas mereka. Para ulamak dan muhaddithin juga bersikap serupa sehingga mereka meletakkan satu bab yang khusus dalam kitab hadis atau sunan mereka menyentuh tentang serban Nabi s.a.w.. Di antara hadis-hadis yang akan kita temui dalam rujukan-rujukan hadis muktabar tentang serban Nabi s.a.w. ialah;

a) Jabir bin Salim r.a. menceritakan;

إن رسول اللَّه صلى اللَّه عليه وآله وسلم دخل مكة وعليه عمامة سوداء
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. memasuki Mekah dengan memakai serban berwarna hitam”. (Riwayat Imam Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah).

Berkata Ibnu Hajar; “Warna hitam di sini seakan-akan menunjukkan fungsi kepimpinan Rasulullah s.a.w. pada hari yang bersejarah ini dan boleh jadi juga warna hitam di sini bukan satu perkara yang menjadi matlamat (yakni hanya kebetulan sahaja)”. Berkata Ahmad Abdul Jawad ad-Dumi dalam mengulas hadis ini; “Hadis ini menunjukkan bahawa pemakaian serban adalah lebih utama berbanding pakaian yang lain”.

Berkata Imam Nawawi; “Memakai warna putih adalah lebih utama dan serban putih adalah lebih sesuai sebagai perhiasan para ulamak pada zaman ini”. Saranan Imam Nawawi ini menepati hadis Rasulullah s.a.w.;

عن سمرة رَضِيَ اللَّهُ عَنهُ قال، قال رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم: البسوا البياض فإنها أطهر وأطيب، وكفنوا فيها موتاكم
Dari Samurah bin Jundab r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda; “Pakailah pakaian berwarna putih kerana sesungguhnya ia lebih suci dan lebih baik dan kafankanlah dengannya jenazah-jenazah kamu”.
(Sunan at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Majah, Musnad Imam Ahmad)

b) Nafi’ meriwayatkan dari Ibnu ‘Umar r.a. menceritakan;

وعن نافع عن ابن عمر قال: كان النبي صلى اللَّه عليه وآله وسلم إذا اعتم سدل عمامته بين كتفيه قال نافع: وكان ابن عمر يسدل عمامته بين كتفيه.
“Adalah Nabi s.a.w. apabila memakai serban, baginda melepaskan ekor serbannya di antara dua bahunya”. Berkata Nafi’; Ibnu Umar apabila memakai serban, beliau melepas ekor serbannya antara dua bahunya (yakni kerana mengikuti perbuatan Nabi s.a.w.).
(Riwayat Imam at-Tirmizi dengan sanad yang hasan)

Berkata Imam asy-Syaukani ketika mengulas hadis ini; “Hadis ini menunjukkan bahawa sunat memakai serban…..dan sunat pula menjuntaikan ekor serban di antara kedua bahu”.

Berdasarkan kenyataan beliau itu, maka kita dapat menyimpulkan bahawa pada pandangan Imam as-Syaukani, pemakaian serban adalah sunat.

c) Diriwayatkan oleh Jaafar bin Amru bin Harith dari bapanya yang menceritakan;

رأيت النبي صلى اللَّه عليه وآله وسلم على المنبر وعليه عمامة سوداء قد أرخى طرفها بين كتفيه
“Aku telah melihat Nabi s.a.w. di atas mimbar dengan memakai serban hitam di mana ia telah melepaskan ekornya di antara dua bahunya”.
(Riwayat Imam Muslim, at-Tirmizi, Abu Daud, an-Nasai dan Ibnu Majah)

d) Ibnu ‘Adiyy meriwayatkan dari Jabir r.a. yang menceritakan;

كان للنبي صلى اللَّه عليه وسلم عمامة سوداء يلبسها في العيدين ويرخيها خلفه
“Bahawa bagi Nabi s.a.w. serban hitam yang dipakainya pada hari raya dan baginda menjuntaikan ekornya ke belakangnya”. (Riwayat Ibnu ‘Adiyy)

Hadis-hadis di atas menunjukkan bahawa memakai serban menjadi kelaziman Nabi s.a.w. di mana baginda memakainya ketika membaca khutbah, pada hari raya, ketika peperangan termasuklah ketika pembukaan kota Mekah. Malah terdapat hadis menceritakan baginda tidak menanggalnya sekalipun ketika mengambil wudhuk.

Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a. yang menceritakan;

رأيت رسول الله -صلى الله عليه وسلم- يتوضأ وعليه عمامةٌ قطريَّةٌ، فأدخل يده من تحت العمامة فمسح مقدَّم رأسه ولم ينقض العمامة.
“Aku telah melihat Rasulullah s.a.w. mengambil wudhuk dalam keadaan berserban di mana baginda memasukkan tangannya ke bawah serbannya lalu menyapu hadapan kepalanya. Baginda tidak menanggalkan serbannya”. (Riwayat Imam Abu Daud)

Nabi s.a.w. mengajar sahabat memakai serban

Selain hadis-hadis yang menceritakan tentang serban Nabi s.a.w., di sana terdapat juga hadis yang menceritakan tentang baginda memakaikan serban kepada sahabatnya atau mengajar mereka bagaimana cara yang sepatutnya berserban.

Imam at-Thabrani meriwayatkan di dalam al-Ausat (الأوسط) dari Abdullah bin Umar r.a. yang menceritakan;

أن النبي صلى اللَّه عليه وآله وسلم عمم عبد الرحمن بن عوف فأرسل من خلفه أربع أصابع أو نحوها ثم قال: هكذا فاعتم فإنه أعرب وأحسن
“Sesungguhnya Nabi s.a.w. memakaikan serban kepada Abdur-Rahman bin ‘Auf r.a, di mana baginda melepaskan ekor serban itu ke belakangnya sepanjang empat jari atau seumpamanya, kemudian baginda berkata; Beginilah memakai serban. Sesungguhnya ia lebih kemas dan lebih cantik”.
(Hadis ini menurut Imam as-Suyuti adalah hasan. Hadis ini menunjukkan bahawa berserban adalah sunat).

Imam Abu Daud meriwayatkan dari Abdur-Rahman bin ‘Auf r.a. yang menceritakan;

عممني رسول اللَّه صلى اللَّه عليه وآله وسلم
“Rasulullah s.a.w. telah memakaikan serban kepadaku…....”.

Imam at-Tabrani meriwayatkan dari Abdullah bin Yasir yang menceritakan;

بعث رسول اللَّه صلى اللَّه عليه وآله وسلم علي ابن أبي طالب عليه السلام إلى خيبر فعممه بعمامة سوداء
“Rasulullah s.a.w. telah mengutuskan Saidina Ali bin Abi Thalib ke Khaibar, lalu baginda memakaikan serban kepadanya dengan serban berwarna hitam”. (Hadis ini menurut Imam as-Suyuti adalah hasan)

Hadis-hadis tentang fadhilat serban

a) Diriwayatkan dari Rukanah bin Abd Yazid al-Hasyimi r.a. yang menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda;

إنَّ فرقَ ما بينَنَا وبين المشركينَ العمائمُ على القلانِسِ
“Perbezaan antara kita dan orang-orang Musyrikin ialah memakai serban di atas kopiah”.
(Riwayat Imam at-Tirmizi, Abu Daud dan al-Baihaqi. Menurut Imam as-Suyuti dalam al-Jami’ as-Saghier (hadis no. 5849); hadis ini dhaif)

b) Dari Jabir r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda;

ركعتان بعمامة خير من سبعين ركعة بلا عمامة
“Dua rakaat solat dengan berserban lebih baik dari 70 rakaat tanpa serban”. (Riwayat Imam ad-Dailami dalam Musnad al-Firdaus. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini adalah dhaif. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 4468)

c) Dari Ibnu Umar r.a. menceritakan sabda Nabi s.a.w.;

صلاة تطوع أو فريضة بعمامة تعدل خمسا وعشرين درجة بلا عمامة، وجمعة بعمامة تعدل سبعين جمعة بلا عمامة
“Melakukan solat sunat atau fardhu dengan memakai serban adalah menyamai pahalanya dua puluh lima darjat tanpa serban. Solat Jumaat tanpa serban menyamai 70 Jumaat tanpa serban”.
(Riwayat Ibnu ‘Asakir dari Ibnu Umar r.a.. Menurut Imam as-Suyuti dalam al-Jami’ as-Saghier (hadis no. 5101); hadis ini adalah soheh. Namun ada ulamak berpandangan hadis ini lemah sebagaimana dijelaskan dalam Faidhul-Qadier oleh Imam al-Minawi)

d) Dari Ibnu ‘Abbas r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda;

اعتموا تزدادوا حلما
“Berserbanlah kamu, nercaya akan bertambah sifat hilm (kesabaran) pada diri kamu”.
(Riwayat Imam at-Tabrani dan al-Hakim. Menurut al-Hakim; hadis ini adalah soheh. Begitu juga Imam as-Suyuti dalam al-Jami’ as-Saghier (hadis no. 1142) menyatakannya sebagai soheh. Namun ada juga ulamak yang menyatakannya sebagai dhaif seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Minawi dalam Faidhul-Qadier).

e) Dari Usamah bin ‘Umair r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;

اعتموا تزدادوا حلما، والعمائم تيجان العرب
“Pakailah serban, nescaya akan bertambah sifat hilm (kesabaran) pada diri kamu. Serban itu adalah mahkota orang-orang Arab”. (Riwayat Ibnu al-‘Adiy dan al-Baihaqi. Menurut as-Suyuti; hadis ini dhaif. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 1143).

Kedudukan darjat hadis-hadis tentang serban

Dengan meneliti hadis-hadis tentang serban sebagaimana yang dibentangkan tadi, kita akan mendapati bahawa hadis-hadis tersebut berada dalam dua kategori;

Pertama; hadis-hadis yang menceritakan dan menerangkan bahawa Nabi s.a.w. pernah berserban. Hadis-hadis dalam kategori ini bertaraf soheh kerana diriwayatkan oleh Imam Muslim di samping Imam-Imam yang lain seperti Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah. (Sila perhati kembali tajuk “Hadis-hadis berkenaan serban Nabi s.a.w.” tadi).

Kedua; Hadis-hadis yang menyuruh berserban dan yang menyebutkan fadhilat memakainya. Hadis-hadis yang dalam kategori ini menurut penilaian muhaddithin adalah bertaraf dhaif.

Berdasarkan analisa di atas, maka kenyataan setengah pihak bahawa hadis-hadis tentang serban adalah dhaif belaka, kenyataan tersebut adalah tidak tepat dan tidak berhati-hati. Ia boleh mengelirukan orang awam kerana mereka akan menganggap semua hadis tentang serban adalah lemah dan tidak bernilai, walhal hadis-hadis tentang Nabi berserban adalah soheh. Yang dhaif hanyalah hadis-hadis yang berupa suruhan atau galakan berserban. Adapun hadis-hadis yang berupa pernyataan atau pemberitahuan bahawa Nabi berserban adalah soheh dan dapat dijadikan hujah.

Mungkin ada yang mempersoalkan; apa gunanya hadis yang hanya berupa pernyataan atau pemberitahuan itu bagi amalan berserban pada zaman hari ini? Jawapan kita ialah; Walaupun hadis soheh tentang serban hanya berbentuk memberitahu, bukan dalam bentuk menyuruh, akan tetapi berdasarkan kepada kedudukan Nabi sebagai uswah dan teladan yang paling baik, maka memakai serban dengan niat meniru baginda ada kebaikan dan pahalanya. Dalam pengertian yang lain dapat kita simpulkan bahawa; Sekalipun tiada suruhan secara Tasyri’ agar kita berserban, namun dengan niat ikhlas untuk mencontohi dan meneladani apa yang pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w., para sahabat, tabiin dan ulamak serta diiringi pula oleh niat baik untuk menghias diri, maka insyaAllah kita akan dikurniakan pahala oleh Allah.

Tambahan pula, pemakaian serban itu diperkukuhkan pula oleh hadis-hadis yang menyebutkan fadhilatnya sekalipun bertaraf dhaif kerana jumhur ulamak berpandangan hadis dhaif harus di amalkan dalam fadhilat amalan dengan syarat-syarat berikut;

1. Ia tidak terlalu dhaif
2. Amalannya telah sabit dengan dalil yang sahih. Adapun hadis dhaif hanya bersifat sampingan yang mensabitkan fadhilatnya sahaja.
3. Hendaklah beramal dengan iktiqad bahawa ia tidak sabit dari Rasulullah s.a.w.. iaitu beramal atas dasar ihtiyat sahaja.

Berkata Imam an-Nawawi; “Para ulamak di kalangan muhaddithin dan fuqahak mengharuskan malah menyukai beramal dengan hadis dhaif dalam fadhilat-fadhilat, targhib (memberi dorongan) dan tarhib (memberi ancaman) selagi ia tidak maudhu’ (yakni bukan hadis palsu). Adapun dalam masalah hukum-hakam seperti halal dan haram, nikah-kahwin, talak dan sebagainya maka tidak amalkan melainkan dengan hadis soheh atau hasan….”.

Ulasan Syeikh Rasyid Redha

Syeikh Muhammad Rasyid Redha pernah ditanya adakah memakai serban itu sunnah Rasulullah dan adakah orang yang memakai serban itu mendapat pahala? Untuk menjawab soalan ini, beliau memberikan jawapan seperti berikut;

“Telah sabit dalam hadis bahawa Nabi s.a.w. terkadang;
1. Memakai serban di atas kopiah dan inilah yang sering berlaku.
2. Memakai serban tanpa kopiah
3. Memakai kopiah tanpa serban.
Walau bagaimana pun tidak warid perintah yang kuat supaya memakai serban atas dasar sebagai salah satu hukum agama dan Syari’at. Maka sesiapa berserban berdasarkan niat menyerupai dalam hal berpakain Nabi s.a.w. kerana sebagai salah satu tanda cinta kasih kepada baginda, tentulah niat seperti ini mendapat ganjaran pahala. Begitulah juga halnya dengan perkara-perkara lain dalam mencontohi kebiasaan-kebiasaan baginda s.a.w..

Ulasan Syeikh ‘Ali Nasif dalam at-Tajul-Jami’

Syeikh ‘Ali Nasif dalam kitabnya “At-Tajul-Jami’ Lil-Usul Fi Ahadith ar-Rasul” di bawah tajuk al-‘Imamah (Serban) membuat ulasan; “Terdapat segolongan orang Islam meninggalkan serban dengan hujjah bahawa ia hanyalah adat atau kebiasaan sama seperti makan, minum dan sebagainya dan bukan dari agama. Selalunya yang mendorong mereka berpandangan demikian adalah sikap suka meniru bangsa lain. Walhal jika kita meletakkan berserban itu sebagai adat sekalipun, ia merupakan semulia-mulia adat kerana ia adalah adat Nabi s.a.w. di mana baginda adalah semulia-mulia makhluk pada pandangan sekelian kaum muslimin. Pepatah Arab ada menyebutkan; “Adat orang-orang besar adalah setinggi-tinggi adat”. Namun apa yang sebenarnya ialah; berserban adalah tergolong dalam agama melihat kepada nas-nas. Ia adalah sunnah para Nabi dan Rasul. Memadai (untuk menunjukkan kemuliaannya kepada kita) dengan Malaikat Jibril sendiri berserban ketika turun berjumpa Nabi s.a.w.. Begitu juga, Nabi s.a.w. telah bersabda kepada Abdur-Rahman tatkala memakaikannya serban;

هكذا فاعتم فإنه أعرب وأحسن
“Beginilah memakai serban. Sesungguhnya ia lebih kemas dan lebih cantik”.

Hikmah serban ialah menjaga tubuh-badan di mana di negara panas ia memelihara dari sinaran matahari, adapun di negeri sejuk ia menjaga dari kesejukan…Selain itu, hikmah serban juga ialah untuk perhiasan dan keelokan (dalam berpakaian).

Pandangan dan sikap sahabat terhadap amalan kebiasaan Nabi s.a.w..

Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan di dalam bukunya al-Madkhal li-Dirasati as-Sunnah an-Nabawiyyah; Di kalangan sahabat terdapat mereka yang mengikuti Nabi s.a.w. dalam segala perbuatannya sekalipun tidak nampak pada perbuatan tersebut bentuk qurbah (tujuan mendekatkan diri kepada Allah), semata-mata kerana sempurnanya kasih-sayang mereka kepada baginda dan keinginan yang bersangatan untuk mengikuti baginda dalam setiap urusan hidupnya. Di antara mereka ialah Ibnu Umar r.a..

Imam Mujahid menceritakan; “Kami mengikuti Ibnu ‘Umar r.a. dalam satu perjalanan. Lalu apabila ia sampai di satu tempat, ia melencung darinya (yakni mengambil jalan ke arah kanan atau ke kiri). Lalu kami bertanya kepadanya; “Kenapa kamu melakukan demikian?”. Ia menjawab; “Aku telah melihat Rasulullah melakukan sedemikian, maka aku pun turut melakukannya”. (Riwayat Imam Ahmad dan al-Bazzar dengan sanad yang baik).

Zaid bin Aslam menceritakan; Aku telah melihat Ibnu Umar r.a. menunaikan sembahyang dalam keadaan terbuka kancing-kancing bajunya. Lalu aku bertanya beliau tentang perbuatannya itu. Maka ia menjawab; “Aku telah melihat Rasulullah telah melakukannya”. (Riwayat Ibnu Khuzaimah dalam Sohehnya dan Imam al-Baihaqi dalam Sunannya)

Dalam riwayat yang lain; Ibnu Umar r.a. apabila ia melintasi sebuah pokok antara Mekah dan Madinah, ia akan berhenti dan berehat di bawahnya. Apabila ditanya kenapa? Ia menjawab; “Kerana dia melihat Rasulullah telah melakukannya”. (Riwayat Imam Ibnu al-Bazzar dengan sanad yang dapat diterima)

Selain Ibnu Umar, seorang sahabat yang lain yang mengambil sikap serupa ialah Mu’awiyah bin Qurrah. ‘Urwah bin Abdillah bin Qusyair menceritakan dari Mu’awiyah yang meriwayatkan dari bapanya yang menceritakan; “Aku Ia telah datang kepada Nabi s.a.w. dalam satu rombongan, lalu aku bersama kumpulan itu berbai’ah dengan Nabi s.a.w.. Sesungguhnya butang-butang baju Nabi s.a.w. (ketika itu) dalam keadaan terbuka (yakni tidak dikancingkan oleh baginda)”. Urwah menceritakan; “Aku tidak pernah melihat Mu’awiyah dan begitu juga anaknya sama ada di musim sejuk atau musim panas melainkan kancing-kancing baju mereka dalam keadaan terbuka (kerana meniru Nabi s.a.w.). (Riwayat Imam Ibnu Majah)

Serban menjadi pakaian ulamak silam dan hari ini

Ahli Sejarah Islam terkenal iaitu Ibnu ‘Asakir (meninggal tahun 571 Hijrah) meriwayatkan Tarikhnya dari Imam Malik yang berkata;

لا ينبغي أن تترك العمائم ولقد اعتممت وما في وجهي شعرة
“Tidak sepatutnya ditinggalkan/diabaikan amalan memakai serban. Sesungguhnya saya memakai serban sejak belum tumbuh rambut di wajah saya (yakni belum bermisai dan berjanggut)”.

Imam al-Baihaqi dalam kitabnya Manaqib asy-Syafi’ie menyebutkan antara lainnya; Rabi’ bin Sulaiman pernah ditanya orang tentang cara berpakaian dan jenis pakaian Imam Syafi’ie. Rabi’ menerangkan; “Pakaiannya adalah sederhana, tidak memakai jenis pakaian yang mahal, ia hanya memakai kain yang diperbuat dari kapas dan tenunan Baghdadi, terkadang ia memakai kopiah dan tidak berlebih-lebihan dan ia lebih sering memakai serban….”.

Dari keterangan Rabi’ yang dinaqalkan oleh Imam al-Baihaqi itu jelas membuktikan bahawa Imam as-Syafi’ie adalah salah seorang ulamak mujtahid yang memakai serban.

Pada zaman Khalifah Abi Ja’far al-Mansur (tahun 135-158H/752-774M) , apabila beliau mengasaskan Baitul-Hikmah yang kemudiannya berfungsi sebagai pusat buku-buku, penterjemahan dan institusi ilmu di kota Baghdad, serban telah dijadikan satu pakaian istimewa khasnya di kalangan para penuntutnya dan para ulamak. Serban berwarna hitam telah dijadikan sebagai satu pakain rasmi yang mesti dipakai oleh para guru, pelajar dan graduan Baitul-Hikmah dengan tujuan untuk membezakan antara golongan terpelajar dengan orang-orang lain. Dan cadangan pakaian serban hitam ini bagi penuntut dan graduan Baitul-Hikmah serta bagi ulamak-ulamaknya terbit dari cadangan Imam Abu Yusuf sebagaimana yang disebutkan oleh Dr. Khidir ‘Athaullah setelah membuat kajian tentangnya. Katanya; “Pada zaman itu para ulamak dan guru-guru mempunyai pakaian khas. Maka Abu Yusuf adalah orang yang mula-mula sekali membuat perubahan terhadap pakain para ulamak. Dan ia telah mencadangkan bagi penuntut-penuntut golongan Baitul-Hikmah supaya memakai serban hitam dan jubah….Dan semenjak zaman itu, jadilah serban hitam dan jubah ini pakain yang lazim dipakai para guru dan ulamak fikih”.

Kemudian dengan jatuhnya kota Baghdad pada tahun 656H/1258M ke tangan Mongol, pengamalan memakai serban ini mengalami perubahan. Akibat kejam dan bengisnya bangsa Mongol terhadap penyokong-penyokong Abbasiyah dan para ulamak pada ketika itu, maka ramailah yang mula melepaskan serban dari kepala kerana takut menjadi perhatian penguasa baru yang bukan lagi berbangsa Arab dan belum lagi memeluk Islam.

Ibnu Batutah (703-779H) yang membuat pengembaraan ke pelbagai pelusuk dunia di abad ke 7 Hijrah, ketika mencatatkan semula apa yang dilihat dan disaksikannya dalam pengembaraannya tentang tradisi penduduk kota suci Mekah, menerangkan bahawa khatib pada hari Jumaat di Masjid Mekah memakai serban hitam. Katanya; “Di antara tradisi penduduk kota suci Mekah pada hari jumaat ialah merapatkan mimbar berhampiran ke Kaabah al-Musyarrafah di antara rukun Hajarul Aswad dengan rukun Iraqi dan khatib akan mengadap ke arah maqam Ibrahim. Kemudian apabila khatib muncul, ia keluar dengan memakai pakaian serba hitam; serban hitam dan jubah hitam”.

Apa yang dicatatkan oleh Ibnu Batutah itu berdasarkan apa yang dilihatnya sendiri di kota suci Mekah memberi makna bahawa pakaian serban hitam merupakan pakaian rasmi khatib di Masjidil Haram pada abad yang ke-8 Hijrah.

Di Mesir, serban masih kekal hingga ke hari ini menjadi lambang para ulamak dan penuntut lepasan al-Azhar. Para ulamak al-Azhar majoritinya adalah berjubah dan berserban. Syeikhul al-Azhar dan juga Mufti Mesir hingga ke hari masih mengekalkan identiti berserban dan berjubah sebagai pakaian rasmi mereka. Begitu juga, khatib-khatib di serata Masjid di seluruh pelusuk Mesir, mereka berjubah dan berserban khususnya pada hari jumaat.

Al-Marhum Syeikh Muhammad al-Ghazali –salah seorang ulamak al-Azhar yang terkenal-, pernah suatu ketika beliau melawat ke satu negeri di Eropah. Semasa dalam keretapi, ada seorang menegur beliau; ‘Tidak bolehkah engkau menanggalkan serban dan jubah engkau dan engkau memakai kot … sepertimana orang di sini biasa memakainya”. Beliau menjawab; “Apa salahnya aku memakai pakaian yang biasa dipakai oleh ulama’-ulama’ al-Azhar. Jika seorang anggota tentera, anggota polis dan sebagainya berbangga dengan uniform tentera dan polisnya, maka aku juga berbangga dengan uniform al-Azharku (yakni berserban dan berjubah)”.

Kesimpulan akhir

1. Serban sekalipun merupakan pakaian tradisi orang Arab, namun kaitannya dengan peribadi Nabi s.a.w. meletakkannya sebagai pakaian yang mempunyai nilai dan kehormatan tersendiri di mata kaum muslimin termasuk para sahabat. Sekalipun kita berpegang bahawa pemakaian serban adalah harus, namun kedudukannya sebagai pakaian Nabi meletakkannya lebih baik dari topi, songkok hitam, dan sebagainya yang ditiru dari pakain orang Barat, dari India atau dari bangsa lainnya.

2. Di kalangan ulamak ada yang berpandangan secara jelas bahawa pemakaian serban adalah sunat. Antara mereka Imam as-Syaukani sebagaimana pandangan beliau dalam Nailul-Autar. Sekalipun majoriti ulamak berpandangan ianya harus sahaja, namun mereka menjelaskan bahawa sesiapa berserban dengan niat meniru Nabi s.a.w. dalam cara berpakain baginda atau untuk melahirkan tanda cinta kasih kepada baginda, maka ia akan mendapat ganjaran pahala dari Allah.

3. Tidak ada pandangan dari ulamak bahawa orang yang memakai serban adalah haram dan berdosa. Oleh demikian, orang berserban –dari segi pandangan Syarak- berhak mempertahankan kebebasannya berserban kerana ia diharuskan oleh agama. Malah orang yang mengharamkan apa yang diharuskan Syarak tanpa ada suatu kemudaratan yang menimpa diri atau orang lain, maka ia terdedah dengan ancaman Allah;

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Siapakah Yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah Yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda Yang baik lagi halal dari rezeki Yang dikurniakanNya?" katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang Yang beriman (dan juga Yang tidak beriman) Dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang Yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang Yang (mahu) mengetahui”. (al-A’raf: 32)

Wallahu a’lam.
sedutan dari : http://koleksi-alqalam.blogspot.com/

Terima Kasih

Terima kasih.. kepada semua yang menjadikan blog ini sebagai taman Ilmu...
Jazakumullah

Sabtu, 23 April 2011

TUTUP AURAT KE TUTUP KEPALA?

TUTUP AURAT KE TUTUP KEPALA?

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji-pujian bagi Allaah Tuhan Pencipta 'alam. Dia-lah yang mentadbir 'alam dan tiada sekutu bagi-Nya. Wujud-Nya tanpa permulaan dan tiada pengakhiran. ALlaah Maha Berkuasa, Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana. Selawat dan salam buat penutup segala Nabi-nabi, buat ahli keluarga Baginda, sahabat-sahabat Baginda (radiyaLlaahu 'anhum) dan buat pengikut-pengikut Baginda yang benar hingga hari qiamat. Aameen

PAKAIAN MUSLIMAH SOLEHAH

Mutakhir ini, sering kita lihat di media massa memaparkan pelbagai fesyen yang direka khas bagi anak-anak gadis dan wanita untuk tampil berpakaian sopan, dan bertudung. Persoalannya, sedar tak sedar... kebanyakan fesyen-fesyen yang ditampilkan tidak menepati syari'at bahkan bila dilihat seolah-olah sekadar melepas batuk di tangga... Bukan menutup 'aurat sebagaimana yang ditetapkan syariat tetapi dilihat sekadar menutup rambut sahaja. Bahkan leher dibiarkan bebas tanpa ditutupi dengan sempurna. Selain itu ada juga yang kita lihat seolah-olah sekadar menyangkutkan kain selendang/ tudung di kepala dan mengeluarkan sedikit di bahagian depan (orang kata jambul ek)...

Begitu juga dengan pakaian yang menutupi tubuh. Ada yang bertudung, tapi pakaian masih lagi ketat dan menampakkan lekok susuk tubuh badan.. Bertudung tapi hujung kain tudung disangkutkan ke belakang/ ke atas pundak kepala atau dililitkan sehingga tidak menutupi dada (yang sepatutnya bahagian tersebut juga PERLU DITUTUPI).
Ini bukan pakaian yang menepati syariat Islam. SEKALI-KALI TIDAK!!! Busana muslimah tidak boleh nipis (contohnyer tudung bawal) dan merangsang atau jarang.

Dalam hal ini RasuluLlaah SollaLlaahu 'alaihi wa sallam telah bersabda (yang bermaksud):
"Dua orang ahli neraka yang belum pernah saya lihat adalah:
a) kaum yang memegang pecut bagai ekor lembu digunakan untuk memukul orang (tanpa alasan)
b) orang perempuan yang berpakaian, tetapi telanjang (memakai busana jarang) bagaikan merayu-rayu, melenggak-lenggok membesarkan cemaranya bagaikan punuk unta yang miring.
Mereka tidak akan masuk jannah dan tidak akan dapat mencium bau jannah (syurga) sedangkan bau jannah dapat dicium dari jarak yang sangat jauh"
(Riwayat Muslim)

Sebagai contoh kita tengok pada gambar di bawah...
(ana sengaja tidak memberi gambar yang sebenar bagi menjaga maruah wanita-wanita yang terlibat. Ana juga tidak berhajat melampirkan gambar-gambar artis yang ada berpakaian sebagaimana yang ana nyatakan di atas (tidak menepati syariat) Ana yaqin umum sudah sedia mengetahui akan hal itu... moga ALlaah memberi hidayah kepada kita semua untuk mentaati-Nya)

Kepada pembaca wanita yang ana(saya) hormati kerana ALlaah...
Ana terpanggil untuk menghantar artikel ini bukan untuk merendahkan martabat kita sesama wanita. Sedarlah! Dunia ini hanya sementara... Kembalilah kepada ajaran Islam yang sebenar. Jangan kita tertipu dengan lambakan fesyen yang kononnya busana Muslimah tapi hakikatnya disebaliknya... Ketahuilah!Tanpa kita sedar minda dan diri kita dieksploitasi lantaran kecetekan ilmu pengetahuan kita dalam soal agama. Bertanyalah kepada mereka yang amanah dengan 'ilmunya. Tanya mereka, bagaimanakah cara berpakaian yang sesuai dengan seorang wanita muslim yang menepati syara'. Bukankah menuntut 'ilmu itu adalah fardhu atas kita yang bergelar mukallaf?
Dalam hal ini, Nabi Muhammad SollaLlaahu 'alaihi wa sallam telah bersabda:
طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
Maksudnya: Menuntut ilmu(yang daruri atau teras itu) adalah wajib ke atas setiap muslim
(Diriwayat oleh al-Bayhaqi)



Kepada artis-artis wanita Islam...

SubhanaLlaah bertuahnya kalian andai kiranya pemakaian menutup 'aurat yang kalian lakukan benar-benar menepati syariat ditambah lagi niat ikhlas kerana ALlaah, lalu diikuti oleh peminat... SubhanaLlaah, insha'ALlaah kalian akan mendapat ganjaran di sisi-Nya. Tapi apa akan jadi jika para peminat mengikuti jejak langkah kalian tapi dalam keadaan fesyen yang kalian tampilkan bukan sahaja tidak menepati syariat bahkan dilihat seolah-olah mempermain-mainkan agama???.

Seringkali ana terdengar & terbaca di akhbar-akhbar ataupun majalah-majalah kata-kata daripada artis-artis wanita di negara kita, jika wartawan bertanya "bilakah anda bersedia untuk memakai tudung?" dan anda akan jawab: "tengokl
ah kalau dah sampai seru"? Seru apa? adakah kita sekadar menunggu-nunggu hidayah ALlaah dalam keadaan tidak berusaha ke arah itu? Hidayah tak akan datang bergolek.. kena ada ikhtiar... dan tak kurang juga yang memberi jawapan "saya mungkin akan pakai tudung bila dah berusia 40 tahun...

Apakah kita dijanjikan ALlaah akan mencapai usia tersebut untuk berubah??? Bayangkan seruan yang kita tunggu untuk kita berpakaian menutup aurat, tapi yang datang adalah seruan untuk kembali ke 'alam baqa'... Bayangkan kita menunggu untuk mencapai usia 40 tahun untuk berhijrah tetapi dijemput awal untuk melalui alam baru (alam barzakh) dan saat itu kita ditutupkan aurat dengan dipakaikan kain kafan....Na'uuzu biLlaah.Tidak takutkah kalian kepada ALlaah Yang Maha Berkuasa?

Wahai sekalian para pembaca wanita yang ana hormati dan kasihi pada jalan ALlaah...
Ayuh! Sedarlah! Bangkitlah! Bertaubatlah! Sesungguhnya ALlaah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang... Berhijrahlah kerana ALlaah. Jangan berhijrah kerana dunia yang kita kejar! Dunia kita kejar, akhirat akan berciciran, tapi jika akhirat yang kita kejar... insha'ALlaah dunia juga akan dapat sekali... Asas utama penghijrahan ialah SOLAT 5 WAKTU SEHARI SEMALAM... bila kita menjaga solat ikhlas kerana ALlaah, insha'ALlaah... sedikit demi sedikit perubahan akan anda lihat. Bukankah janji ALlaah itu sentiasa benar??? ALlaah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
"Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah diri daripada perbuatan yang keji dan mungkar"

DALIL-DALIL TENTANG PERINTAH MENUTUP AURAT DENGAN SEMPURNA:

Firman ALlaah Subhanahu wa Ta'ala yang bermaksud:
"Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu dan wanita-wanita mu'minah, hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka tidak diganggu. Dan ALlaah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang"
(Surah al-Ahzab, ayat 59)
Dan lihat juga Surah An-Nur ayat 31 dan 60

Berkata Saiyidatina 'Aisyah: "Mudah-mudahan ALlaah mengasihi wanita-wanita yang turut hijrah dahulu, ketika ALlaah turunkan ayat: "Dan hendaklah wanita-wanita mu'min itu mengulurkan jilbabnya atas leher dan dada mereka"mereka sama mengoyak kain-kain mereka lalu mereka pergunakan kerudung, kain-kain itu"

Ketika ayat itu diturunkan, maka lelaki (suami) mereka sama pulang ke rumah lalu membacakan ayat yang diturunkan oleh ALlaah itu, maka tidak ada diantara mereka seorang pun yang diam melainkan berdiri lantas mengambil kain yang bertulis lalu mereka berkerudung dengan itu kerana sangat membenarkan dan amat yaqin kepada apa yang diwahyukan oleh ALlaah Subhanahu wa Ta'ala.


Akhirul kalam, janganlah kita berasa malu untuk mengamalkan syariat Islam. Sesungguhnya Islam itu agama yang suci dan diredhoi ALlaahu Subahanhu wa Ta'ala.Seseorang itu akan menjadi mulia kerana Islam yang di'amalkan dan seseorang akan menjadi hina jika meninggalkan syariat Islam



Tutuplah 'aurat sesempurna anak-anak kecil ini. Kan comei tu.

P/s: Insha'ALlaah artikel ini akan sentiasa diupdate mengikut isu-isu semasa yang timbul di tengah-tengah masyarakat di samping ditambah dalil-dalil yang berkaitan. Buat masa ini, hanya sekadar ini yang mampu ana tuliskan. Mohon maaf dunia akhirat atas tutur bicara yang mengguris perasaan. Tiada niat lain melainkan ana menulis artikel ini liLlaahi Ta'ala untuk peringatan diri ana sendiri dan bertujuan mengajak sekalian wanita Islam untuk kembali kepada ajaran Islam yang suci dan sejahtera bagi semua umat manusia. Ketahuilah! hanya dengan kembali kepada Al-QUr'an dan Sunnah insha'ALlaah gejala sosial akan dapat dikurangkan bahkan dapat dihapuskan jika segenap lapisan masyarakat bersatu hati melaksanakan undang-undang Islam. WaLlaahu a'lam

FAHAMILAH KONSEP MENUTUP 'AURAT

FAHAMILAH KONSEP MENUTUP 'AURAT

Fahami Sebenar-Benarnya Maksud Menutup Aurat
( Bilangan 301 Bahagian Pertama )

بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاهJustify Full
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Menutup aurat merupakan kewajipan agama yang sudahpun diketahui umum umat Islam. Tuntutan menutup aurat itu sabit berdasarkan dalil-dalil daripada al-Qur'an, hadits dan kesepakatan para ulama. Akan tetapi ramai umat Islam yang mengabaikan dan bersifat acuh tak acuh akan tuntutan dan kewajipan menutup aurat ini, baik lelaki mahupun perempuan.

Apa yang menyedihkan ialah cara atau trend berpakaian segolongan individu, khususnya perempuan, tidak menepati dengan apa yang digariskan oleh syara‘. Pakaian yang mereka pakai bukan untuk menutup aurat, sebaliknya hanya menampal sebagai perhiasan semata-mata agar dipandang cantik dan bergaya.

Lebih mengecewakan lagi, anggapan sesetengah individu itu bahawa memadai apabila dia memakai tudung sahaja, maka sudah bermakna dia menutup aurat. Sedangkan pakaian yang dipakai nyata masih tidak menepati tuntutan menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki oleh syara‘, seperti memakai seluar yang ketat atau pakaian pendek, nipis (jarang) dan kain berbelah, sama ada mereka sedari ataupun tidak bahawa pakaian yang mereka pakai itu adalah mengghairahkan. Bahkan cara bertudung pun masih menampakkan anggota aurat yang wajib ditutup atau disembunyikan.

Ada pula yang memakai pakaian yang lengkap menutup aurat pada waktu-waktu tertentu sahaja, seperti ketika menghadiri majlis-majlis keagamaan dan kedukaan seperti kematian, tetapi tidak pada waktu-waktu lain.

Sikap sebahagian wanita-wanita muslimah seumpama ini menunjukkan bahawa mereka belum memahami maksud sebenar menutup aurat itu dan bagaimana cara melaksanakannya sebagaimana yang dituntut oleh syara‘.
(Ada gak orang besar pakai tudung mcm budak kecik yg comei2 ni. budak2 ni x pe. belum mukallaf lagi... tapi yg org besor, x leh pakai cam ni. X cukup syarat mnutup aurat)

TUNTUTAN MENUTUP 'AURAT ADALAH PERINTAH ALLAAH SUBHANAHU WA TA'ALA

Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah mewajibkan lelaki mahupun perempuan untuk menutup aurat mereka dan menggariskan cara-cara menutup aurat itu. Tuntutan menutup aurat ini adalah perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Memakai pakaian yang menutup aurat sebagaimana yang digariskan oleh syara‘ bererti mentaati perintahNya. Bilamana menutup aurat merupakan suatu ketaatan, maka memakai pakaian yang mendedahkan aurat pula merupakan suatu kederhakaan.

Tuntutan menutup aurat ini tidak boleh dipandang ringan. Ancaman dan balasan Allah Subhanahu wa Ta‘ala terhadap mereka yang tidak melaksanakan atau tidak memperdulikan tuntutan menutup aurat itu adalah sangat keras. Antara akibat melanggar tuntutan ini ialah laknat Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Mereka yang melakukan penderhakaan terhadap perintahNya itu tidak akan masuk syurga, bahkan bau syurga pun tidak dapat dihidu oleh mereka, sebagaimana yang ditegaskan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: “Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) melihatnya, iaitu; kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita–wanita yang berpakaian tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian tiada menutup aurat kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama), yang berjalan melagak menggoyangkan bahu, kepala mereka seperti bonggol unta yang condong. Mereka tidak boleh masuk syurga, bahkan tidak boleh menghidu baunya, padahal bau syurga itu sebenarnya dapat dihidu dari jarak sekian, sekian (yang cukup jauh).” (Hadits riwayat Muslim)
Oleh itu, kita hendaklah mengenakan pakaian untuk menutup aurat sebagaimana yang disuruh syara‘ kerana mentaati perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala, bukannya kerana tuntutan fesyen semasa atau kesesuaian tempat dan keadaan.

MENUTUP 'AURAT NIKMAT ANUGERAH ALLAAH SUBHANAHU WA TA'ALA

Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menurunkan bahan-bahan pakaian di muka bumi dan memberikan manusia keupayaan menghasilkan pakaian sebagaimana yang ditegaskan melalui firmanNya:
Tafsirnya: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup ‘aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)”.
(Surah al-A‘raaf: ayat 26)
Ayat ini menjelaskan bahawa bahan pakaian yang telah diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hamba-hambaNya itu sebagai tanda-tanda limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya untuk menutup aurat mereka. Maka mereka yang mengabaikan kewajipan ini dengan mendedahkan aurat mereka adalah orang-orang yang tidak bersyukur dan tidak menghargai nikmat tersebut.

Banyak kebaikan dan faedah yang boleh didapat daripada kewajipan menutup aurat ini. Islam tidak mensyariatkan sesuatu melainkan untuk kebaikan dan kemaslahatan manusia itu sendiri. Tuntutan menutup aurat ke atas wanita adalah untuk kebaikan bagi diri kaum wanita juga.

Di antara rahsia atau faedah menutup aurat yang khusus bagi wanita sepertimana yang dijelaskan dalam al-Qur'an ialah untuk mereka dikenal sebagai perempuan yang baik-baik dan dengan berpakaian sedemikian, maka mereka tidak akan diganggu.Secara tidak langsung pakaian yang menutup aurat dan sopan merupakan antara cara untuk menghindari fitnah, pandangan yang jahat atau berlakunya perkara yang buruk, umpamanya kes rogol.

Oleh itu, kewajipan menutup aurat juga merupakan satu nikmat yang wajib disyukuri, iaitu dengan cara melaksanakan kewajipan ini.

Bagaimana Cara Menutup Aurat Yang Dituntut Syara‘?

PAKAIAN MUSLIMAH SOLEHAH

Sebelum dijelaskan cara menutup aurat bagi wanita sebagaimana yang dituntut oleh syara‘, perlu disebut terlebih dahulu bagaimana aurat wanita itu di hadapan lelaki bukan mahramnya. Secara sepintas lalu,bagaimana aurat perempuan dalam sembahyang, maka itulah juga auratnya di luar sembahyang. Apa yang boleh nampak di hadapan orang-orang yang bukan mahramnya hanyalah kedua tapak tangan dan muka sahaja, manakala keseluruhan anggota badan yang lain merupakan aurat yang wajib ditutup.

Cara berpakaian bagi perempuan yang sempurna menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki syara‘ itu dirujuk kepada firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya:
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Ahzab: 59)

Dalam ayat di atas telah jelas menyatakan bahawa pakaian yang dipakai ketika keluar itu hendaklah dalam keadaan labuh dan menutup seluruh tubuh pemakainya. Terdapat juga beberapa hadits yang menyebut tentang ciri-ciri pakaian yang dikehendaki oleh syara‘, umpamanya hadits yang diriwayatkan oleh ‘A’isyah Radhiallahu ‘anha:
َMaksudnya:
“Bahawa Asma’ binti Abu Bakar telah berkunjung kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan memakai pakaian yang nipis. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berpaling daripadanya. Baginda bersabda: “Wahai Asma’, sesungguhnya orang perempuan apabila sampai umur haidh (umur baligh), tidak boleh dilihat padanya kecuali ini… dan ini... (sambil) Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menunjukkan muka dan kedua-dua tapak tangan Baginda.”
(Hadits riwayat Abu Daud)
Berdasarkan kepada dua dalil di atas, maka dijelaskan bahawa ciri-ciri pakaian menutup aurat yang dituntut oleh syara‘ bagi wanita itu adalah seperti berikut:

1. Pakaian yang longgar. Bukan pakaian sempit yang menampakkan susuk atau bentuk tubuh badan.

2. Pakaian yang labuh yang menutupi keseluruhan anggota aurat. Bukan pakaian yang pendek, singkat atau terbelah yang mendedahkan perut, dada, leher, tangan, kaki dan punggung.

3. Pakaian yang menutup warna kulit anggota aurat dari kelihatan. Bukan pakaian yang nipis atau jarang yang menampakkan warna kulit dan bayang-bayang tubuh dari luar.

Pakei mcm adik kecik ni. comei jek. sempurna cara pmakaiannyer
SUMBER:
http://jomfaham.blogspot.com/2009/02/wahai-muslimah-fahamilah-tuntutan.html (artikel asal diedit ckit dgn pnambahn gambor2 utk memudahkn pembaca memahami...)..

'AURAT WANITA DI DALAM SOLAT

'AURAT WANITA DI DALAM SOLAT


1. Ulamak Mazhab Syafie sepakat, aurat wanita di dalam sembahyang,wajib menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.Tiada terkecuali biarpun sembahyangnya seorang diri di tempat gelap atau di dalam khemah.

2. Makruh menutup muka seperti memakai purdah yang menampakkan kawasan mata dan dahinya, atas pendapat banyak ulamak. Satu pendapat di dalam Kifayatul Akhyar, membolehkan memakai purdah seperti yang disebutkan itu bagi mengelakkan pandangan liar lelaki ajnabi di dalam masjid.

3. Batas aurat itu adalah ditutup daripada pandangan sebelah atasnya dan daripada kelilingnya. Tiada pada pandangan daripada bawahnya. Jika dia sujud, maka tapak kakinya perlu ditutup dengan pakaian, dan tidak boleh terbuka berdasarkan pandangan daripada keliling.

4. Syarat aurat itu juga ialah kain yang dipakainya mestilah tidak nipis sampai menampakkan warna kulit atau warna rambut.

5. Bila aurat itu terbuka kerana ditiup angin, tidak membatalkan solat dengan syarat ditutup dengan segera dan terbuka itu tidak melebihi kadar waktu melafazkan subhanaAllah.
Didiklah dirimu & anak-anakmu mendirikan solat
Sebelum engkau di usung ke liang lahad

http://fekah.blogspot.com/2008/07/aurat-wanita-di-dalam-sembahyang.html

SEJARAH PENGUMPULAN ALQURAN-ZAMAN SAHABAT

PENULISAN -QUR'AN DI ZAMAN ABU BAKAR

Di zaman Abu Bakar berlaku Perang Yamamah pada tahun 11 Hijrah menentang tentera Musailamah Al-Kazzab. Dalam perang ini seramai 70 orang penghafal Al-Qur'an telah terkorban syahid. Saiyidina 'Umar RadiyaLlaahu 'anhu mencadangkan kepada Abu Bakar, yang pada ketika itu adalah Khalifah Islam agar mengumpulkan kerana bimbang Al-Qur'an akan hilang dari dunia ini. Pada mulanya Abu Bakar agak keberatan kerana Nabi Muhammad tidak melakukan atau mengarahkan agar Al-Qur'an dikumpulkan sebagaimana cadangan Saiyidina 'Umar. Tetapi akhirnya Abu Bakar bersetuju dengan pandangan tersebut. Khalifah Abu Bakar terus mengarahkan satu jawatankuasa atau suruhanjaya pengumpulan Al-Qur'an dibentuk dan melantik Zaid bin Thabit mengetuai suruhanjaya tersebut. Di antara ahli jawatankuasa yang menganggotai suruhanjaya tersebut ialah:

1. Ubay bin Ka'ab
2. Mu'az bin Jabal

3. Abu Zaid Al-Ansari


Khalifah Abu Bakar mengarahkan Zaid bin Thabit melaksanakan misi besar ini kerana beberapa sebab. Abu Bakar berkata:
إنك رجل شاب عاقل ولا نتهمك،كنت تكتب الوحي لرسول الله؟، فتتبع القرآن فاجمعه
"Sesungguhnya engkau seorang pemuda yang bijak dan kami tidak pernah mempunyai sebarang tohmahan jahat terhadap kamu, engkau dulu adalah penulis wahyu yang diturunkan lagi RasuluLlaah SollaLlaahu 'alaihi wa sallam. Carilah dan kumpulkanlah"
رواه البخاري في كتاب تفسير القرآن باب؛ لقد جاءكم من أنفسكم...

Zaid melaksanakan misi ini berdasarkan peraturan yang digariskan oleh Abu Bakar dan para sahabat lain. Abu Bakar mengarahkan sesiapa sahaja yang menulis Al-Qur'an agar membawanya kepada Suruhanjaya Pengumpulan Al-Qur'an yang diketuai oleh Zaid bin Thabit, tetapi ianya tidak diterima melainkan mempunyai dua saksi. Saiyidina Abu Bakar kepada Zaid dan Umar:
اقعدا على باب المسجد، فمن جاءكما بشاهدين على شيء من كتاب الله فاكتباه
رواه ابن أبي داود في كتاب المصاحف باب جمع أبي بكر القرآن في المصاحف

Duduklah kamu berdua di pintu masjid (Masjid Nabawi), sesiapa yang membawa kepada kamu dua saksi membuktikan ianya adalah kitab ALlaah Subhanahu wa Ta'ala, tulislah"

Suka diingatkan bahawa, Abu Bakar RadiyaLlaahu 'anhu, semua anggota Suruhanjaya pengumpulan Al-Qur'an dan ramai lagi para sahabat adalah penghafal Al-Qur'an. Mereka tidak menjadikan hafalan-hafalan masing-masing sebagai sandaran terhadap proses pengumpulan dan penulisan ini. Semua ini dilakukan untuk menjamin pemeliharaan terhadap Al-Qur'an.

Akhirnya Al-Qur'an berjaya dikumpulkan dan disalin oleh Saiyidina Ubay bin Ka'ab.
Al-Qur'an yang dikumpulkan ituditulis semula di atas lembaran kertas dan dibukukan menjadi sebuah kitab Al-Qur'an. Perkara ini dijelaskan melalui hadis pengumpulan Al-Qur'an . Suhuf yang dikumpulkan pada Al-Qur'an kekal berada pada tangan Saiyidina Abu Bakar sehinggalah beliau wafat, kemudian ianya disimpan di sisi Saiyidina 'Umar sehinggalah beliau wafat, kemudian disimpan di sisi Hafsah Ummul Mukminin. Imam Malik meriwayatkan daripada Ibn Wahab daripada Ibn 'Umar katanya "Abu Bakar mengumpulkan Al-Qur'an pada lembaran-lembaran kertas"

Telah dijelaskan bahawa ayat-ayat Al-Qur'an yang dibawa oleh para sahabat kepada Zaid bin Thabit tidak diterima melainkan mempunyai dua saksi. Apakah yang dimaksudkan dengan saksi di sini? saksi yang dimaksudkan di sini ialah bahan bertulis yang dibawa oleh para sahabat itu disyaratkan mestilah ditulis di hadapan Nabi Muhammad SollaLlaahu 'alaihi wa sallam bukan sekadar hafalan para sahabat. Mereka juga mensyaratkan ayat-ayat itu mestilah yang kekal ada semasa kedatangan Jibril yang terakhir pada tahun wafatnya RasuluLlaah SollaLlaahu 'alaihi wa sallam.
Begitulah teliti dan halusnya misi pengumpulan Al-Qur'an di zaman Abu Bakar As-Siddiq .

Benarlah firman ALlaah Subhanahu wa Ta'ala dalam surah Al-Baqaroh, ayat 1 - 2, yang bermaksud: "Alif laam miim. Kitab (Al-Qur'an) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa"

Asbabun Nuzul

Pengertian Asbabun Nuzul
Ungkapan Asbab An-Nuzul merupakan bentuk idhafah dari kata “asbab” dan nuzul Secara etimologis, asbabun nuzul ayat itu berarti sebab-sebabyang melatar belakangi terjadinya sesuatuatau dalam hal ini adalah sebab-sebab turun ayat. dalam pengertian sederhana turunnya suatu ayat disebabkan oleh suatu peristiwa, sehingga tanpa adanya peristiwa itu, ayat tersebut itu tidak turun.
Banyak pengertian terminology yang dirumuskan oleh para ulama, diantaranya:
1.menurut Az Zarqani:
“Asbab An-Nuzul” adalah khusus atau sesuatu yang terjadi serta ada hubungannya dengan turunnya Al Qur’an sebabagi penjelas hokum pada saat peristiwa itu terjadi.”
2.Ash shabuni:
“Asbab An-Nuzul” adalah peristiwa atau kejadian yang menyebabkan turunnya satu atau beberapa ayat yang mulia yang berhubungan dengan kejadian tersebut baik berupa pertanyaan yang diajukan kepada nabi atau kejadian yang berkaitan dengan urusan agam.”

3. Subhi Shalih
ما نزلة الأية او الآيات بسببه متضمنة له أو مجيبة عنه أو مبينة لحكمه زمن وقوعه.
“Sesuatu yang dengan sebabnyalah turun sesuatu ayat atau beberapa ayat yang mengandung sebab itu, atau memberi jawaban tentang sebab itu, atau menerangkan hukumnya; pada masa terjadinya peristiwa itu.”
3.Mana Al Qathan
“Asbab An-Nuzul”
Adalah peristiwa yang menyebabkan turunnya Al Qur’an berkenaan dengan waktu peristiwa itu terjadibaik berupa suatu kejadisn atau pertanyaan yang diajukan kepada Nabi.”
Kendatipun redaksinya pendifinisian diatas berbeda namun hal itu menyimpulan bahwa Asbab An-Nuzul adalah kejadian atau peristiwa yang melatar belakangi turunnya Al Qur’an.
Bentuk bentuk peristiwa yang melatar belakngi turunnya Al Qur’an itu sangat beragam , diantaranya berupa konflik sosial seperti ketegangan anatara suku aus dan suku khazraj, kesalahan besar seperti kasusu seorang sahabat yang mengimani shalat dalam keadaan mabuk, dan pertanyaan pertannyaan yang diajukan para sahabat kepada Nabi, baik berkaitan dengan sesuatu yang telah lewat sedang atau yang akan terjadi.
Persoalan apakah semua ayat Al Qur’an diturunkan berdasarkan Asbab An-Nuzul ternyata telah menjadi bahan kntroversi dikalangan para ulama
Sebagian ulama berpendapat bahwa tidak semua ayat Al Qur’an diturunkan dengan asbabun nuzul, , sehingga diturunkan tanpa ada yang melatar belakanginya (ibtida’) dan ada pula Al Qur’an yang diturunkan dengan dilatarbelakangi oleh sesuatu peristiwa(ghairu ibtida’)
Pendapat tersebut hempir merupakan konsensus para ulama ada yang mengatakan bahwa kesjarahan Arabi pra Al Qur’an pada masa turunnya Al Qur’an adalah latar belakanng turunnya Al Qur’an secara makro sementara riwayat –riwayat asbabun nuzul merupakan latar belakang mikronya. Pendapat ini berarti menganggap bahwa semua ayat Al Qur’an memiliki sebab-seba yang melatar belaknginya.

Jumaat, 22 April 2011

New IPG

Sejarah bermula dari sebuah maktab perguruan, bertukar kepada Institut Perguruan dan kini semua maktab perguruan di Malaysia melalui zaman tranformasi - The New IPG....
IPG bertukar / berubah menjadi sebuah institut pendidikan perguruan yang mengeluarkan Ijazah Sarjana Muda setaraf dengan IPTA...

Sabtu, 5 Februari 2011

Soalan MOS KPLI jQAF

Kepada semua pelajar KPLI jQAF Ambilan Januari..sila download tugasan Minggu Oreantasi Sekolah anda dan siapkan tugasan berkenaan dalam tempoh seminggu selepas anda ditempatkan di sekolah.

Terima kasih

Selamat Tahun Baru 2011

Alhamdulillah... dan selamat datang kepada semua pelajar baharu IPG Kampus Darulaman.

Sabtu, 9 Oktober 2010

Sambutan 20 tahun IPG Kampus Darulaman

Alhamdulillah semenjak berpindah dari MPLP-Maktab Perguruan Lembah Pantai , sampai di lembah ini dan kini IPDA telah berusia 20 tahun.. begitu cepat masa berlalu..dan tarikh itu jugalah perpindahan MPI Lembah Pantai ke IPG Kampus Pendidikan Islam di Sungai Merab. MPI Lembah Pantai adalah sedara kembar dengan MPLP...
kenangan di lembah pantai sangat banyak dan disitulah kami dididik untuk menjadi CIKGU atau USTAZ dulu....
Terima kasih -- MPLP dan MPI

Rabu, 29 September 2010

Hijrah ke IPDA

Mulai Jun 2007.. ana telah berpindah ke IPG Kampus Darulaman,, atau lebih dikenali dengan nama IPDA... alhamdulillah disini ana dekat dengan mak...selepas ayah dah kembali kerahmataullah. Inilah peluang ana berkhidmat dengan mak, lebih kerap dapat balik dan jengok mak di kampung.