Ahad, 24 April 2011

FIQH AQIQAH Pengertian Aqiqah

FIQH AQIQAH

Pengertian Aqiqah

Al-‘Aqiqah berasal dari perkataan al-‘Aq (العقّ) yang bermaksud al-Qat’u (القطع) iaitu memotong. Aqiqah pada asalnya ialah rambut yang berada di kepala bayi ketika dilahirkan dan dinamakan kambing yang disembelih untuk bayi sebagai aqiqah adalah kerana rambut tersebut dicukur ketika sembelihan itu dilakukan. Kerana itu Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis;

الغلام مرتهن بعقيقته: فأهريقوا عنه الدم، وأميطوا عنه الأذى
“Anak kecil itu dipertaruhkan dengan aqiqahnya[1], maka tumpahkanlah darah untuknya (yakni lalukanlah aqiqah untuknya) dan singkirkanlah kotoran darinya”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dari Salman bin ‘Amir r.a.)

Yang dimaksudkan dengan kotoran (الأذي) dalam hadis ini ialah rambut yang dicukur dari anak kecil tersebut.[2]

Adapun dari sudut Syara’, Aqiqah bermaksud; binatang yang disembelih untuk bayi yang dilahirkan.[3] Disunatkan memanggilnya dengan nama nasikah (نسيكة) atau zabihah (ذبيحة).[4]

Dalil pensyari’atan aqiqah ialah hadis Buraidah r.a. yang menceritakan;

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم عق عن الحسن والحسين
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. melakukan aqidah untuk Hasan dan Husin”. (Riwayat Imam an-Nasai)

Hukum Aqiqah

Aqiqah hukumnya adalah sunat muakkad.[5] Dalil sunatnya aqiqah ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Salman bin ‘Amir r.a. tadi.[6]

Melakukan aqiqah tidaklah wajib kerana Abdurrahman bin Abi Sa’id meriwayatkan dari bapanya yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. ditanya berkenaan dengan aqiqah? Lalu baginda bersabda;

لا أحب العقوق ومن ولد له ولد فأحب أن ينسك له فليفعل
“Aku tidak al-‘Aquq.[7] Sesiapa yang memperolehi anak kecil, lalu ia suka untuk menyembelih (aqiqah) untuknya, maka lakukanlah”. (Riwayat Imam Abu Daud).

Dalam hadis di atas Rasulullah mengikat sembelihan aqiqah tersebut dengan “ia suka”. Maka ini menunjukkan bahawa aqiqah tidak wajib. Selain itu, aqiqah adalah darah yang ditumpahkan (yakni sembelihan yang dilakukan) tanpa disebabkan oleh sebarang jenayah dan juga nazar, maka oleh itu ia tidaklah wajib sebagaimana korban.[8]

Siapa yang dituntut melakukan aqiqah?

Orang yang disunatkan melakukan aqiqah bagi seorang bayi ialah orang yang berkewajipan menanggung nafkahnya. Kerana itu, harga aqiqah dibebankan kepadanya, bukan kepada bayi. Jika ia melakukan aqiqah dengan mengambil dari harta/wang bayi, maka wajib diganti. Ini kerana aqiqah itu tergolong dalam tabarru’ (derma) dan ditegah wali/penjaga melakukan tabarru’ (derma) dengan harta anak di bawah jagaannya. [9]

Disunatkan mengaqiqahi anak apabila mampu. Ukuran kemampuan ialah sebelum tamat tempoh nifas yang terpanjang bagi ibu yang melahirkan bayi tersebut. Jadi, jika seorang wali/penjaga yang menanggung nafkah bayi tidak ada kemampuan untuk melakukan aqiqah semasa anak dilahirkan, namun jika sebelum tamat tempoh nifas terpanjang itu ia mendapat kesenangan dan mampu melakukan aqiqah, maka sunat aqiqah itu masih dituntut ke atasnya.[10] Namun jika sepanjang tempoh nifas tersebut ia masih susah (yakni masih tidak mampu), maka gugurlah tuntutan aqiqah itu darinya.[11]

Menurut Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari; jika ayah dari anak yang lahir dalam keadaan tidak mampu, maka sunat bagi datuknya yang mampu melaksanakan aqiqah cucunya sebagaimana yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. ke atas cucunya Hasan dan Husin kerana yang memberikan nafkah kepada keduanya adalah Rasulullah kerana orang tuanya tidak mampu….[12]

Ibu tidak sunat mengaqiqahi anaknya kecuali apabila ayah tidak mampu. Anak zina yang wajib memberi nafkahnya adalah ibunya, maka sunat bagi ibu mengaqiqahi anaknya. Ini adalah Ibnu Hajar dan Syeikh Ramli. Adapun Syeikh Khatib Syarbini berpendapat; tidak sunat bagi ibu mengaqiqahi anak yang dilahirkan kerana zina sekalipun ia wajib menaggung nafkahnya kerana melaksanakan aqiqah akan menambah malu kepada anak itu.[13]

Binatang yang sunat diaqiqahkan

Terhasil sunat aqiqah apabila wali menyembelih untuk anaknya seekor kambing sama ada anak itu lelaki atau perempuan.[14] Terdapat riwayat di mana Saidina Ali menceritakan;

عقَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وسَلَّم عن الحسنِ بشاةٍ وقال يا فاطمةُ احلقي رأسهُ وتصدَّقي بزنِةِ شعرهِ فضَّةً فوزنتهُ فكانَ وزنهُ درهما أو بعضَ درهمٍ
“Rasulullah s.a.w. melakukan aqiqah bagi Hasan dengan seekor kambing dan baginda berkata kepada Fatimah; ‘Cukurlah rambutnya, kemudian sedekahkanlah seberat timbangan rambutnya itu perak’. Ali berkata; Lalu aku menimbangnya, maka beratnya ialah satu dirham atau beberapa dirham”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)

Begitu juga, riwayat dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan;

أن رسول الله -صلى الله عليه وسلم- عقَّ عن الحسن والحسين -رضي الله عنهما- كبشاً كبشاً
“Rasulullah melakukan aqiqah bagi Hasan dan Husin dengan (menyembelih) seekor kibas (untuk Hasan) dan seekor kibas lagi (untuk Husin)”. (Riwayat Imam Abu Daud)

Namun yang afdhal (yakni yang paling baik) bagi anak lelaki ialah dua ekor kambing. Ini berdasarkan riwayat Ummu Kurzin yang menceritakan; “Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (berkenaan Aqiqah);

عن الغلام شاتان مكافئتان، وعن الجارية شاةٌ
“Bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sekufu dan bagi anak perempuan seekor kambing”. (Riwayat Abu Daud)

Sembelihan aqiqah disyari’atkan untuk menzahirkan kegembiraan terhadap kelahiran anak dan kegembiraan dengan lahirnya anak lelaki biasanya lebih besar, oleh itu sembelihan juga digalakkan lebih banyak dari kepada anak perempuan.[15]

Apakah harus beraqiqah dengan unta dan lembu? Jawapannya adalah harus di mana 1/7 bahagian unta atau lembu menyamai seekor kambing. Oleh itu, seekor unta atau lembu boleh dijadikan aqiqah untuk tujuh orang anak. Dan harus seorang yang ingin melakukan aqiqah berkongsi lembu atau unta dengan orang lain yang tidak berniat melakukan aqiqah seperti ia mengingini 1/7 atau 2/7 dari bahagian unta/lembu itu untuk aqiqah dan adapun bahagian selebihnya diingini oleh orang lain untuk dagingnya sahaja. Hukum ini sama sebagaimana yang disentuh dalam bab Korban terdahulu.[16]

Seekor kambing atau 1/7 bahagian lembu/unta hanya bagi seorang anak sahaja. Oleh demikian, jika seorang itu dilahirkan dua orang anak untuknya, kemudian ia hanya menyembelih seekor kambing sahaja untuk mereka berdua, tidak terhasil ibadah aqiqah untuknya. Ini termasuklah jika dua anak itu adalah anak kembarnya. Kesimpulannya, aqiqah hendaklah dilakukan mengikut bilangan anak. Bagi seorang anak seekor kambing. Jika dua orang, maka dua ekor kambing dan begitulah seterusnya. Hukum ini adalah berdasarkan hadis riwayat Ibnu ‘Abbas tadi yang menceritakan; “Rasulullah melakukan aqiqah bagi Hasan dan Husin dengan (menyembelih) seekor kibas (untuk Hasan) dan seekor kibas lagi (untuk Husin)”.

Syarat-syarat binatang yang hendak diaqiqahkan

Hukum aqiqah sama seperti hukum korban iaitu sunat muakkad. Oleh itu, syarat binatang aqiqah sama seperti yang disyaratkan untuk ibadah korban dari segi jenisnya, umurnya dan bebasnya dari kecacatan yang menyebabkan kurang daging.[17] Begitu juga, ia menjadi wajib apabila dinazar atau ditentukan.[18] Sila rujuk huraian terperinci mengenainya dalam tajuk korban yang lalu.

Masa aqiqah[19]

Bermula masa/waktu melakukan aqiqah ialah apabila bayi telah sempurna lahir dari perut ibunya. Maka jika dilakukan sembelihan sebelum bayi lahir dengan sempurna, tidak dikira sebagai aqiqah. Ia hanya menjadi sembelihan untuk daging dan tidak akan mendapat sunat aqiqah.

Waktu aqiqah itu berterusan hinggalah bayi yang dilahirkan itu sampai umur baligh.[20] Apabila ia telah baligh, gugurlah tuntutan aqiqah dari penjaganya (seperti bapanya atau sebagainya) jika belum melaksanakannya. Namun digalakkan orang yang tidak diaqiqahkan sebelum balighnya melakukan sendiri aqiqahnya.

Walaupun harus dilakukan aqiqah sebaik saja bayi sempurna lahir, namun disunatkan ia dilakukan pada hari yang ketujuh kelahirannya bersama dengan memberi nama dan mencukur kepala yang juga disunatkan pada hari tersebut. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.;

كُلُّ غُلاَمٍ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ. تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ، وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ، وَيُسَمَّى
“Setiap anak kecil (bayi) dipertaruhkan dengan aqiqahnya; disembelih untuknya pada hari ke tujuh, dicukur kepalanya dan diberi nama”. (Riwayat Imam Ibnu Majah dari Samurah r.a.)

Begitu juga, Saidatina Aisyah r.a. menceritakan;

عق رسول الله -صلَّى الله عليه وسلَّم- عن الحسن والحسين يوم السابع، وسماهما، وأمر أن يماط عن رؤوسهما الأذى
“Rasulullah s.a.w. melakukan aqiqah untuk Hasan dan Husin pada hari ketujuh, baginda memberi nama kepada mereka berdua dan baginda menyuruh supaya dibuang kekotoran dari kepala mereka berdua”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim dengan sanad yang baik menurut Imam Nawawi)[21]

Adakah hari ketujuh itu dikira dari hari lahir atau hari berikutnya? Menurut pandangan yang rajih dalam mazhab Syafi’ie; hari lahir adalah terhitung sebagai hari pertama. Ini bermakna hari ketujuh dikira bermula dari hari lahir, bukan dari hari selepasnya. Namun jika bayi dilahirkan pada waktu malam, dihitung hari berikutnya sebagai hari pertama.

Jika tidak dapat disembelih pada hari ketujuh, disunatkan menyembelih pada hari ke 14 (iaitu seminggu selepasnya). Jika tidak dapat pada hari ke 14, disunatkan pada hari ke 21 dan begitulah seterusnya (seminggu demi seminggu) hinggalah kepada umur baligh. Jika selepas baligh belum juga bayi diaqiqahkan, tidak dituntut lagi sunat aqiqah itu dari wali/penjaganya, akan tetapi digalakkan ia sendiri yang melakukan aqiqah untuk dirinya.[22]

Jika bayi ditakdirkan mati selepas dilahirkan, apakah sunat juga diaqiqahkan? Ya, sunat dilakukan juga aqiqah bagi bayi yang mati sama ada mati sebelum hari yang ke tujuh atau selepasnya dengan syarat bapa/penjaga telah berpeluang melakukan aqiqah ketika berlakunya kematian bayinya (yakni ada kemampuan untuk melakukan aqiqah, namun ditangguhnya hinggalah ke saat bayinya mati).[23]

Menyembelih dan melapah binatang aqiqah

Disyaratkan orang yang beraqiqah meniatkan ketika melakukan sembelihan bahawa binatang yang disembelihnya itu adalah aqiqah. Ini sebagaimana yang disyaratkan dalam korban.[24]

Disunatkan sembelihan aqiqah dilakukan pada awal hari (yakni waktu pagi).[25] Menurut Syeikh Taqiyyuddin Abu Bakar al-Husni; disunatkan menyembelihnya ketika terbit matahari.[26] Ketika menyembelih disunatkan membaca Bismillah, bertakbir dan melafazkan;

اللهم لك وإليك، هذه عقيقة _____
“Ya Allah, untukMu dan kepadaMu. Inilah aqiqah untuk _______ (sebutkan nama bayi yang diaqiqahkan untuknya)”.

Imam al-Baihaqi meriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan;

أن النبي صلى الله عليه وسلم عق عن الحسن والحسين وقال: قولوا بسم الله والله أكبر، اللهم لك وإليك، هذه عقيقة فلان
“Sesungguhnya Nabi s.a.w. melakukan aqiqah untuk Hasan dan Husin dan baginda bersabda; kamu ucapkanlah (ketika menyembelih aqiqah kamu);

بسم الله والله أكبر، اللهم لك وإليك، هذه عقيقة فلان
“Dengan nama Allah. Allah Tuhan Yang Maha Besar. Ya Allah, untukMu dan kepadaMu. Inilah aqiqah fulan_____”.
(Riwayat Imam al-Baihaqi dengan sanad yang hasan)[27]

Ketika melapah daging aqiqah, disunatkan tidak mematah atau memecahkan tulang-tulangnya, akan tetapi memotong atau memisahkan tulang-tulang dari sendi-sendinya. Ini sebagai bertafaul (yakni menaruh harapan yang baik) bagi keselamatan anggota-anggota bayi yang dilahirkan itu.[28]

Penggunaan/Pengagihan daging aqiqah

Di sisi ulama’-ulama’ mazhab Syafi’ie –sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Nawawi-; hukum aqiqah dalam masalah bersedekah dengannya, memakannya, memberi hadiah, menyimpannya, kadar yang dimakan dan tegahan menjualnya sama sebagaimana yang disebutkan dalam bab korban, tidak ada perbezaan.[29] Jadi pengagihan daging aqiqah sunat merangkumi tiga iaitu; dimakan oleh orang yang melakukan aqiqah dan keluarganya, disedekahkan kepada fakir miskin dan dihadiahkan kepada jiran atau sahabat-handai.[30]

Namun demikian, di sana ada sedikit perbezaan dalam cara pengagihan daging aqiqah dan daging korban. Daging aqiqah sunat dimasak[31] iaitu disedekahkan (atau dihadiahkan) dalam keadaan telah dimasak, bukan dalam keadaan mentah sebagaimana dalam korban. Masakan pula disunatkan yang manis sebagai bertafaul (yakni menaruh harapan baik) agar bayi yang dilahirkan itu akan manis/elok akhlaknya. Harus sama ada hendak menghantar daging yang dimasak itu ke rumah fakir miskin atau menjemput mereka memakannya di rumah. Namun menghantar masakan kepada mereka lebih afdhal dari memanggil/menjemput mereka ke rumah.[32]

Namun dikecualikan dari dimasak itu kaki binatang korban[33] di mana ia sunat diberikan kepada bidan yang menyambut bayi (القابلة) dalam keadaan mentah (yakni sebelum dimasak).[34] Diriwayatkan dari Saidina Ali r.a. yang menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah menyuruh Fatimah r.a. di mana baginda bersabda;

زني شعر الحسين، وتصدقي بوزنه فضة، وأعطي القابلة رجل العقيقة
“Timbanglah rambut Husin dan bersedekahlah seberat timbangannya akan perak. Dan kamu berilah kepada bidan yang menyambutnya akan kaki binatang aqiqah”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim/al-Jami’ as-Saghir, hadis no. 4567. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini soheh).

***والله أعلم بالصواب***

Nota Hujung

[1] Maksud “dipertaruhkan dengan aqiqahnya” ialah; pertumbuhan yang baik dan penjagaan yang sempurna bagi bayi itu dipertaruhkan dengan binatang yang disembelih untuknya. Ada pendapat menyatakan maknanya; bayi itu tidak akan memberi syafaat kepada dua ibu-bapanya jika ia tidak diaqiqahkan. (al-Fiqhul-Manhaji, jil. 4, hlm. 56)
[2] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 320.
[3] Al-Muhazzab, jil. 2, hlm. 841.
[4] Al-Fiqh al-Manhaji, jil. 3, hlm. 55.
[5] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 321.
[6] Al-Fiqh al-Manhaji, jil. 3, hlm. 55.
[7] Yakni baginda tidak menyukai nama al-‘Aquq, maka kerana itu baginda menamakannya nasikah (نسيكة) yang dapat difahami dari kata baginda; (فأحب أن ينسك). (Rujuk: al-Majmu’, jil. 8, hlm. 321).
[8] Al-Muhazzab, jil. 2, hlm. 841.
[9] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 324. Al-Fiqh al-Manhaji, jil. 3, hlm. 55. Fiqh Sunnah, jil. 2, hlm. 40. Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 369. Sabilal-Muhtadin, hlm. 912.
[10] Tutuntan aqiqah tidak akan luput dari wali/penjaga yang mampu sehingga bayinya mencapai umur baligh. Selepas itu tidak dituntut lagi ke atas wali melakukan aqiqah, akan tetapi digalakkan bayi itu sendiri melakukan aqiqah bagi dirinya bagi melaksanakan apa yang telah luput darinya. (Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 370).
[11] Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 828.
[12] Sabilal-Muhtadin, hlm. 912.
[13] Sabilal-Muhtadin, hlm. 912.
[14] Al-Fiqhul-Manhaji, jil. 3, hlm. 57. Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 321. al-Muhazzab, jil. 2, hlm. 841.
[15] Al-Muhazzab, jil. 2, hlm. 841.
[16] Al-Fiqhul-Manhaji, jil. 3, hlm. 56. Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 321.
[17] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 321. Al-Fiqhul-Manhaji, jil. 3, hlm. 88-89.
Termasuk juga yang sama ialah dari sudut binatang yang afdha. Maka binatang yang paling afdhal dibuat aqiqah ialah unta, kemudian lembu, kemudian biri-biri (ad-Dha’nu) dan akhirnya kambing biasa (al-Ma’az). (al-Majmu’, jil. 8, hlm. 321)
[18] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 324.
[19] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 323.
[20] Sebaik-baiknya aqiqah dilakukan pada hari yang ke tujuh. Jika tidak dilakukan pada hari ke tujuh, disunatkan dilakukan sebelum habis tempoh nifas. Jika selepas selesai nifas masih belum dilakukan, maka disunatkan sebelum putus menyusu. Jika belum dilakukan juga, maka disunatkan sebelum berumur tujuh tahun. Jika masih juga belum dilakukan, maka disunatkan sebelum mencapai umur baligh. Jika setelah sampai umur baligh masih belum lagi diaqiqahkan, maka gugur sunat tersebut dari wali/penjaga dan ketika itu diberi pilihan kepada bayi untuk melakukan aqiqah bagi dirinya (apabila ia dewasa). (Kifayatul-Akhyar, hlm. 534).
[21] Al-Muhazzab, jil. 2, hlm. 843. al-Majmu’, jil. 8, hlm. 320.
[22] Berkata Imam al-Buwaiti; “Tidak diaqiqahkan untuk orang dewasa”. Maksud ungkapan ini –menurut Imam Nawawi- ialah; orang dewasa tidak disunatkan diaqiqahkan oleh orang lain, tetapi disunatkan untuk diaqiqahkan oleh dirinya sendiri. (al-Majmu’, jil. 8, hlm. 323).
[23] Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 370.
Dalam Sabilal-Muhtadien dinyatakan; “Sunat mengaqiqahkan anak yang mati yang sempat hidup sekadar cukup waktu menyembelih aqiqah sekalipun meninggal sebelum hari ketujuh”. (Hlm. 913).
[24] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 322.
[25] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 324.
[26] Kifayatul-Akhyar, hlm. 535.
[27] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 320.
[28] Al-Fiqhul-Manhaji, jil. 3, hlm. 59.
[29] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 324.
[30] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 322.
[31] Termasuklah daging aqiqah nazar; sunat dimasak terlebih dahulu, kemudian barulah disedekahkan kepada fakir miskin. (Lihat; Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 370).
[32] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 322.
[33] Dalam kitab Sabilal-Muhtadin disebutkan; “…kaki kanan sampai ke batang paha binatang aqiqah…”. (Hlm. 915)
[34] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 322.

Tiada ulasan: