Khamis, 28 April 2011

Hakikat Muraqabah

Muraqabah atau meneliti diri itu ialah menjaga kesopanan diri terhadap Allah yang Maha Pengawas dan Maha Peneliti serta menyerahkan segala maksud dan tujuan hanya kepadaNya saja. Yakni hendaklah disematkan dalam hati semacam keadaan yang dihasilkan oleh sejenis makrifat, dan keadaan itu pula akan mencetuskan pelbagai amal pada seluruh anggota dan hati.

Perihal yang menyangkut keadaan, iaitu hati yang akan mengambil berat terhadap Zat Allah yang bersifat Maha Pengawas dan Peneliti atas segala gerak‑geri diri kita. Adapun perihal yang menyangkut makrifat pula, iaitu untuk mengenal Zat Allah yang Maha Menyingkap segala yang tersimpan di dalam hati hambaNya, Maha Mengetahui segala yang tersembunyi di lubuk kalbunya, meneliti segala amalan hambaNya dan Mengawasi setiap langkah yang diusahakannya. Dan sesungguhnya semua rahsia hati manusia itu akan terbuka nyata di hadapan Allah s.w.t., seperti juga kulit badan yang terdedah jelas di hadapan mata manusia sendiri.

Orang yang meneliti diri sendiri dalam amalan‑amalannya ada dua cara, iaitu:

(1) Meneliti amalan sebelum dimulakan.

(2) Meneliti amalan ketika melaksanakan.

PERTAMA: MENELITI AMALAN SEBELUM MEMULAKAN

Seelok‑eloknya, hendaklah kita menumpukan perhatian dan gerak‑geri terhadap sesuatu amalan itu, sama ada ia sebenamya ditujukan kerana Allah semata‑mata, ataupun dicampuri oleh keinginan hawa nafsu atau menurutkan kemahuan syaitan.

Sebaik‑baiknya kita menghening sebentar untuk menetapkan hati agar tersingkap bagi diri kita suatu keadaan yang sebenar, sehingga kita dapat melihat hakikatnya dengan nur (cahaya) kebenaran. Kalau sudah jelas, bahwa amalan itu memang ditujukan kepada Allah Ta'ala semata‑mata, maka hendaklah kita teruskan amalan itu sehingga sempurna. Sebaliknya kalau amalan itu bukan kerana Allah Ta'ala, hendaklah kita segera merasa malu kepada Allah Ta'ala, dan segera memberhentikan amalan itu. Seterusnya hendakah kita merasa bimbang kerana hatinya telah terpesong manakala perhatian serta kecenderungannya menyimpang dari Allah Ta'ala itu. Harus juga kita mengingatkan diri kita tentang amalan yang jelek itu, dan bahwasanya amalan serupa itu haruslah dianggap sebagai musuh kepada diri sendiri, kerana ia akan membawa bahaya yang besar kepada diri kita sendiri.

KEDUA: MENELITI AMALAN KETIKA MELAKSANAKAN

Adalah wajar sekali bagi diri kita meneliti setiap amalan yang sedang dilaksanakan, apakah caranya betul seperfi yang ditunjuk, agar ia dikira sempurna untuk menunaikan hak Allah Ta'ala. Kemudian hendaklah kita mensucikan niatnya, sehingga amalan itu terlaksana dan dikerjakan dengan keadaan yang sesempurna sempurna mungkin. Penelitian serupa ini harus selalu berlaku dalam semua hal ehwalnya. Sebab setiap amalan yang dilakukan sehari‑hari itu tidak sepi sama ada dari ketaatan atau kemaksiatan, ataupun amal mubah(harus). Oleh itu jika amalan kita itu berupa ketaatan, maka penelitiannya ialah dengan menjalankan amalan itu secara tulus‑ikhlas dan cukup sernpurna serta menjaga sopan‑santunnya dan memeliharanya dari segala bencana yang boleh merosakkannya.

Jika amalan itu pula berupa maksiat, maka menelitinya ialah dengan bertaubat yang disertai dengan perasaan kesal dan malu serta memenuhi diri dengan kesyughulan memikirkan dosa yang telah dibuat itu. Dan hendaklah kita mengikis terus maksiat yang telah dilakukan itu dari dalam dirinya serta berjanji kepada diri sendiri tidak akan mengulangi lagi.

Jika amalan itu berupa perkara‑perkara yang mubah, yang dihukumkan harus dibuat dalam agama, maka menelitinya ialah dengan menjaga tata‑tertib dalarn melakukannya. Dalam pada itu, jangan pula sampai kita terlupa mengakui kenikmatan yang telah dilimpahi oleh Allah s.w.t. dan mensyukurinya.

Kita harus mengakui juga, bahwa dalam hal‑ehwalnya sehari‑hari itu, tentu sekali ia tidak akan sepi daripada bencana yang menimpanya, maka sewajarnyalah kita bersabar keatasnya. Begitu pula tidak sepi daripada nikmat yang dikecapi, maka sudah sepatutnyalah ia mensyukuri nikmat itu.

Sernua itu adalah termasuk muraqabah ataupun penelitian diri yang tidak boleh tidak manusia mesti melaluinya dalam segala hal ehwalnya yang telah ditakdirkan oleh Allah Ta'ala. Baik dalarn perbuatan yang wajib dilaksanakan, mahupun larangan yang mesti ditinggalkan. Baik dalam perbuatan sunnat yang digalakkan oleh syariat Islam supaya segera mencapai keampunan Allah Ta'ala dan mendahuluinya dari hamba‑hamba Allah yang lain, mahupun dalam perbuatan harus yang memang mengandungi kebaikan‑kebaikan untuk jasmani dan rohani yang dapat menolong untuk melakukan ketaatan kepada Allah Ta'ala. Tiap‑tiap satu dari perkara‑perkara tersebut itu ada batas‑batasnya yang tertentu yang sewajarnyalah dijaga dan dipelihara dengan cara‑cara muraqabah atau penelitian diri.

Allah berfirman ;

“ …..sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya dia telah berlaku zalim kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara (yang lain).” (at‑Talaq: 1)

Orang berkuasa untuk menambah kebajikan, maka hendaklah berusaha untuk menambahkan kebajikan. Orang yang berupaya menambahkan keuntungan , tetapi melengahkan usahanya itu, padahal ia berkuasa untuk mencapainya, maka tidak dapat tidak tentulah orang itu akan menanggung kerugian yang besar. Keuntungan-keuntungan itu pasti dapat dicapai dengan menambahkan kebajikan.

Sumber : Bimbingan Mu'minin

Tiada ulasan: